Monday, March 30, 2009
Pengusaha Batik Brunei
Ilham dari jiwa seorang pelukis
===========================
Berasal dari Negara Brunei Darul Salam, bakat seni lukisnya yang dimilikinya tidak pernah disia-siakan malah digilap sehingga gelaran seorang pelukis kini sudah berubah kepada seorang pengusaha batik terkenal.
Zainal Abidin Haji Ibrahim yang mempunyai perusahaan dan mencorak batik dengan hasil kerja tangannya, kini telah berkecimpung lebih 10 tahun dalam industri batik tempatan.
Zainal merupakan salah seorang daripada 11 pengusaha atau pemilik butik batik yang turut serta dalam pameran sempena Malam Amal Anggun Warisan II "Warisan Nusantara" yang diadakan di 1Borneo pada Jumaat lepas.
Batik-batik rekaannya dan perusahaannya juga turut diperagakan di hadapan tetamu kehormat Pengerusi Puspanita Bandaraya Kota Kinabalu, Datin Naimah Haji Hassan yang telah menyempurnakan perasmian pameranitu sambil disaksikan oleh Datuk Bandar Kota Kinabalu, Datuk Iliyas Ibrahim.
Zainal berkata, pada malam kemuncak acara itu, batik rekaan beliau turut diperagakan oleh model-model tempatan.
Lebih 20 jenis batik rekaannya dipamerkan pada pameran itu yang dianggar antara RM500 hingga RM2,000.
Ketika ditemui, Zainal memberitahu Brunei terkenal dengan pembuatan batik bercorak seperti bunga kuduk, air moleh dan simpur.
"Namun, lebih mendapat sambutan dan menjadi kegemaran para pelanggannya ialah batik muleh kerana memiliki ukiran fesyen yang tersendiri dan asli.
"Alhamdullah...setakat ini sambutan yang diterima dari Brunei ataupun peminat batik di sini (Sabah) sangat menggalakkan...saya sangat berterima kasih," katanya sambil memberitahu ini merupakan kali ketiga beliau mengadakan pameran batik di negeri di bawah bayu ini.
Namun, jelasnya beliau banyak menerima tempahan daripada penggemar batik dari Sabah yang rata-rata terdiri daripada golongan berjawatan tinggi.
Bercerita sebentar bersama beliau mengenai pembuatan batik hasil ukiran beliau, Zainal berkata bakat seorang pelukis yang dimilikinya digilap menjadi satu punca rezeki.
"Kebolehan saya dalam bidang lukisan memberi saya bakat untuk melukis corak-corak batik.
"Dari situ, saya perkembangkan corak itu menjadi sebuah lukisan batik yang menarik." katanya.
Menurut Zainal yang sudah 10 tahun berkecimpung dalam industri pembuatan batik, memberitahu, terdapat tiga cara membuatan batik samada secara tulis/lukis, batik cop dan batik digital.
"Namun, orang lebih suka dan gemar batik tulis/lukis berbanding dengan batik yang lain kerana memiliki keasliannya tersendiri," katanya.
Ditanya mengenai keistimewaan batik Brunei dengan Malaysia, Zainal berkata, ianya tiada banyak beza kerana berasal dari satu rumput.
Bagaimanapun, dalam melahirkan sebuah corak batik yang menarik, Zainal gemar menggunakan corak Brunei sebagai corak asas namun menggunakan warna berkonsepkan nusantara dan etnik iaitu campuran antara citarasa Malaysia dan Brunei.
Tidak hairanlah, corak dan lukisan batik dari Brunei ini tidak banyak beza dengan batik Terengganu dan Indonesia kerana turut menyelitkan elemen nusantara.
Dalam pada itu, pameran itu turut disertai oleh pengusaha batik dan butik dari Indonesia dan Filipina mengambil bahagian dalam pameran tiga hari sempena Malam Anggun Warisan II yang akan berakhir hari ini.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
saya fadhir...0123084660
ReplyDeletesaya nk berkenalan dgn En Zainal..
bleh call sy bila kelapangan...