Sunday, May 24, 2009

Sana sini 60%..70 %

Catatan DWUW 24Mei 2009
KELMARIN selepas menghadiri sebuah acara, saya sempat singgah sebentar ke sebuah pusat membeli belah berdekatan. Bukanlah niat untuk membeli belah, sekadar berlalu untuk balik ke pejabat (shortcut). Masuk-masuk saja sudah dihidangkan pelbagai jenis godaan.

Masuk-masuk saja mata saya terus saja tertumpu ke satu sudut yang dikerumuni orang ramai. Wah...sebelah kiri 60 peratus!!!...kanan 70 peratus!!... "Patutlah..rupanya ada jualan murah."

Gedung pakaian itu mengadakan jualan murah sempena Pesta Kaamatan yang kononnya baru bermula hari itu dan hanya akan berakhir 6 Jun depan. Kepada yang sudah menerima gaji bulan ini 'honeymoon' lah...

Kepada yang tidak...nampaknya telan liur sajalah menunggu sehingga hujung bulan.

Sebenarnya saya sendiri juga tidak melepaskan peluang memandangkan jarang-jarang dapat keluar dan 'bertemu' dengan jualan murah. Iyalah... boleh buat persiapan untuk Hari Raya nanti. (Amboi...awalnya persiapan..)

Biasanya kesempatan jual murah ini adalah peluang kepada suri rumah 'memborong' pelbagai jenis pakaian samada untuk persiapan perayaan akan datang atau untuk kegunaan seharian. Yalah..harga yang ditawarkan jauh lebih rendah berbanding biasa ditambah lagi barangan itu terdiri daripada pakaian berjenama.

Siapa yang tidak mahu,kan? semuanya mahu yang murah kerana dikatakan yang murah itu adalah pilihan terbaik. Betulkah? Dengar juga ada yang berkata ketika jualan murah beginilah untuk membeli barangan yang berjenama tapi boleh diperolehi dengan harga yang jauh lebih murah.

Dalam hati saya berkata "Dan ketika itu, pasti anda tidak lagi membeli sebaliknya 'memborong'..." Melihat keadaan itu ramai yang akan membuat komentar bahawa peniaga sengaja mencari keuntungan lebih...malah ada yang menyalahkan peniaga itu sendiri.

Hairan juga. Bukankah semua bijak berbelanja itu terletak pada tangan pengguna atau pembeli itu sendiri. Tidak maknanya tidak dan ya maknanya yalah... terpulang pada diri sendiri. Jadi tidak perlulah menyalahkan sesiapa.

Tapi, yang menarik perhatian saya di sekitar sudut itu saya tertarik memerhatikan seorang lelaki dalam usia mungkin 30-an berdiri berhampiran dengan timbunan pakaian yang menjadi tumpuan orang ramai.

Kenapa agaknya lelaki itu berdiri di situ, dia hanya buat keadaan lebih sesak, lagipun tidak pula dia seperti ingin membeli kerana sekadar melihat pakaian dihadapan sambil mendukung anak.

Saya rasa pasti lelaki itu sedang menunggu isterinya memilih pakaian. Tapi lagak berdiri saya ditepi timbunan kain itu agak 'menjengkelkan' orang sekeliling yang mahu memilih pakaian.

Pasti lelaki itu sudah pening dan tidak perasan dirinya dalam pemerhatian saya. Sesekali mengusap dari anaknya sesekali lelaki itu meninjau-ninjau ke kiri dan kanan. Tidak lama selepas itu, seorang wanita datang mendekatinya dengan menggalas beberapa beg plastik.

Dengan penuh senyuman dan rasa puas selepas 'bershoping', wanita itu terus menunjukkan apa yang dibelinya kepada lelaki itu (mungkin suaminya).

Lirikan mata suaminya yang panjang pada tangan isterinya yang sarat menggalas beg plastik buat saya rasa geli hati pula. Si isteri tersenyum manja tapi si suami layu terkulai tidak bersuara.

Yang pastinya, lelaki itu layu terkulai bukan kerana senyuman manja isterinya tapi kerana tidak mampu berkata apa-apa melihat isterinya sudah mengalami 'sindrom shoping'. Entah apa yang dibicarakan selepas itu, keduanya terus berlalu.

Itulah keadaan yang biasa kita dapat saksikan dimana-mana tidak kira ketika pesta jualan murah ataupun tidak. Perkataan 'jual murah' itu sendiri sebenarnya sudah berjaya buat orang terpengaruh.

Oleh itu, terpulang kepada pengguna itu sendiri untuk membuat pilihan bijak demi kehidupan dan kesejahteraan sendiri.

No comments:

Post a Comment