Sunday, March 15, 2009

Ekonomi Merundum

=========================
Tidak halang wanita luar bandar berniaga


Disaat Negara dibelenggu dengan kemelut ekonomi global yang semakin dirasai kini, ia tidak menghalang sesetengah golongan untuk terus bangkit daripada kesempitan hidup untuk menceburi bidang perniagaan.

Demi tugas dan tanggungjawab yang digalas terhadap pembangunan ekonomi keluarga, wanita di kawasan pendalaman mencuba nasib dalam bidang peruncitan, pertanian dan ternakan.

Di samping itu, kesedaran terhadap pembangunan modal insan menerusi bidang perniagaan itu, golongan ini yakin dan tabah menghadapi cabaran dan mengambil langkah proaktif dalam semangat untuk memajukan diri tanpa mengharapkan kerajaan dan pihak lain.

Menyelurusi kejayaan yang dikecapi oleh sekumpulan peserta ahli wanita yang terdiri daripada 90 peratus golongan ibu di daerah Nabawan, patut dijadikan iktibar kepada semua golongan itu di seluruh negeri ini.

Bersandarkan kepada kegigihan dan sejuta kemahuan yang ada, golongan ini memberanikan diri memulakan perniagaan kecil-kecilan bersesuaian dengan modal yang kecil.

Samini Lasuan, 50, Laida Undu, 41, Normah Ajil, Ambilis Tunggaling, 40, Rusinah Salim dan Josie Emih, memulakan perniagaan setiap hari Rabu dan Sabtu di Tamu Nabawan dengan menjual daging awam, ikan, menjual sayur-sayuran, kuih-kuih dan banyak lagi.

Purata pendapatan antara RM3,000 hingga RM4,000 sebulan menjadikan enam wanita gigih ini mendorong mereka lebih berusaha dan bersemangat untuk meneruskan perniagaan itu untuk menambah pendapatan keluarga serta keperluan lain.

Ketika ditemui oleh wartawan Utusan Borneo, rata-rata mereka menyatakan dorongan serta galakan daripada suami serta anak-anak, mereka membuka premis perniagaan.

Sementara itu, tiga lagi wanita gigih, Manja Lawin dan Andulinah Angkarim yang juga membuka kedai runcit dan menjual ayam mendapat pendapatan RM2,000 hingga RM3,000, dan Mira Aminah Sumindal yang membuka restoran di pekan Nabawan berjaya memperolehi pendapatan mencecah RM15,000 sebulan malah premis perniagaannya itu menjadi begitu laris di daerah itu.

Lebih membanggakan, seorang wanita bernama Juninah @ Junainah Ajam, 32 bersama kejayaannya membukan tiga premis perniagaan menjual makanan, kedai borong dan kedai buku menyuntik semangat wanita lain untuk turut sama menceburkan diri dalam bidang perniagaan.

Menurut Junainah, kejayaan beliau adalah kerana kegigihan dan ketekunan beliau dalam mengatur strategik perniagaan dan tidak mengenal erti putusa asa dalam meluaskan perniagaan miliknya.

Katanya, sokongan dan bantuan daripada suami tercinta antara inspirasi mendorong beliau berjaya dalam bidang berkenaan.

"Dengan adanya suami di sisi, tidak perlu berputusa asa. Gagal sekali tidak bermakna gagal selamanya. Usaha gigih dan tidak berputus asa akan membuahkan hasil," katanya sambil tersenyum puas.

Kegigihan kumpulan wanita ini melibatkan diri dalam bidang perniagaan dan kesungguhan yang ada telah menarik perhatian agensi-agensi seperti Yayasan Usaha Maju (YUM), Mara dan Yayasan Tekun Nasional, membantu menyuntik modal perniagaan kepada mereka untuk memperluaskan perniagaan yang ada.

Baru-baru ini, sekumpulan dari 32 orang ahli Kaum Hawa masing-masing menerima bantuan wang modal daripada Yayasan Usaha Maju bagi menjalankan aktiviti perniagaan.

Dalam masa yang sama, kumpulan sasar itu turut masing-masing menerima modal pembiayaan bantuan yang berbayar sebanyak RM2,000 hingga RM20,000 berdasarkan keahlian dan bidang perdagangan yang diceburi di sekitar daerah itu.

No comments:

Post a Comment