Sunday, January 4, 2009

Lembaran 2008, meninggalkan seribu makna

Beberapa hari lagi, tahun 2008 akan menutup tirainya. Terasa banyak lagi perkara yang belum disempurnakan. Nampak gayanya terpaksa ditunda ke tahun hadapan atau melupakannya begitu saja.
Di saat ini, barulah amat terasa masa itu terlalu cepat berlalu dan terasa sudah tidak sempat melakukan itu ini.
Apapun, yang pasti kedatangan tahun baru ini tidak akan menunggu kita dalam mencipta sesuatu yang bermakna dalam hamparan kehidupan ini.
Apa yang penting, kesempatan kita untuk menghargai sesuatu perkara daripada beberapa peristiwa yang berlaku sepanjang tahun 2008, dan mungkin boleh dijadikan panduan bersama yang bakal dicatatkan dalam helaian diari si hati.
Namun, bergantung kepada seseorang itu untuk mengambilnya sebagai iktibar atau sekadar pandangan kosong begitu saja.
Bagi saya, berakhirnya tahun 2008 ini akan membuka lembaran baru dalam hidup saya selain pastinya usia sudah menjangkau setahun kehadapan. Terasa baru semalam meninggalkan zaman persekolahan bersama teman-teman tersayang yang ketika ini semuanya sudah
mempunyai kerjaya dan kehidupan masing-masing.
Rindunya dengan mereka. Tidak mungkin kenangan itu saya lupakan sampai bila-bila, malah mendoakan akan ada ruang untuk kami berkumpul semula seperti dahulu.
Berakhirnya tahun 2008 ini juga tanda berakhirnya kisah duka yang berlaku dalam tempoh ini. Sudah tiba masanya saya melupakan semua memori hitam dalam sesebuah hubungan yang berakhir pada Februari lepas.
Serendah diri saya memohon dan berdoa kepada Allah SWT agar memberikan saya kekuatan dalam menempuhi onak duri.
Tidak dilupakan juga buat keluarga tercinta di kampung, semoga kedatangan tahun baru ini akan memberikan kita sejuta kebahagiaan dan kasih sayang yang begitu bermakna. Amin...
Sesungguhnya tiada yang lebih berharga daripada nilai sebuah pengorbanan untuk kebahagiaan kepada orang yang tersayang.
Untuk DWUW sendiri, detik pemergian 2008, amat terasa memandangkan ruangan khas untuk wanita ini masih baru dilayar persuratan di negeri ini. Meskipun pembacanya belum menyeluruh namun, ia sudah menjadi salah satu pelengkap UB untuk tampil menjadi satu suara masyarakat prihatin terutama bagi keluaran setiap Isnin.
Untuk lembaran baru 2009, UB pastinya akan tampil dengan sesuatu yang beza dan pendekatan baru dalam mendekatkan pembaca dengan penerbitan ataupun dengan masyarakat di luar sana.
Tidak dinafikan, ruangan khas ini masih terlalu mentah untuk mengukir nama dan masih tidak cukup matang dalam melaporkan setiap sorotan yang dipaparkan.
Saya sedaya upaya cuba menyediakan sesuatu paparan yang tidak berkaitan dengan mana-mana isu politik meskipun pendekatan dan bahan cerita juga diambil dikalangan mereka.
Namun, dengan kerjasama yang diberikan terutama masyarakat, Citra Hawa mampu diterima ramai terutama penggemar UB. Sekalung penghargaan terima kasih buat anda.
Mungkin diakhir coretan ruangan ini, saya titipkan beberapa pengharapan untuk ruangan ini agar ia dijadikan satu kenangan dalam terbitan persuratan di negeri ini, sekiranya saya tiada lagi di sini, semoga ia dapat diteruskan sampai bila-bila dan tampil lebih berani dalam melaporkan sebarang isu wanita.
Terutamanya dalam menyumbangkan sesuatu yang berguna buat wanita untuk persediaan menempuhi tsunami ekonomi yang dijangkakan akan menyerang dunia tahun depan.

No comments:

Post a Comment