Sunday, January 4, 2009

Projek Agropolitan di Banggi, Kudat

Program Lonjakan Mega Luar Bandar Projek agropolitan/Ladang Sejahtera
Program Lonjakan Mega Luar Bandar adalah satu program pembangunan yang bersepadu dan komprehensif yang mempunyai matlamat serampang dua mata iaitu menghapuskan kemiskinan tegar dan mempercepatkan pembangunan di kawasan mundur, terpencil dan terbiar.
Program berkonsepkan agropolitan itu merupakan satu perancangan pembangunan secara bersepadu pelbagai agensi perancang dan pelaksana bagi satu kawasan tertentu yang meliputi satu saerah atau beberapa daerah yang lain.
Program ini memberi fokus kepada pembangunan ekonomi, prasarana fizikal dan pembangunan manusia.
Ia memberi keutaman di kawasan luar bandar yang mundur, terpencil dan terbiar tetapi mempunyai potensi ekonomi yang tinggi seperti aktiviti pertanian, pelancongan dan industri yang boleh menjana pembangunan di kawasan berkenaan.
Agropolitan Pulau Banggi.
Pulau Bangi yang terletak pada kedudukan di Utara Sabah, satu mukin terpencil di daerah Kudat yang berkeluasan 470KM persegi atau 126,570 ekar.
Ia dijadikan sebagai kawasan sasaran bagi Program Lonjakan Mega Luar Bandar Projek agropolitan/Ladang Sejahtera sebagai agropolitan Pulau Banggi yang telah pun dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Pulau yang mempunyai bilangan penduduk seramai 14,000 orang yang terdiri daripada Ubian, Sulok, kegayan, Balabak, Bajau Laut, Dusun Bonggi dan Melayu, dan pekerjaan utama mereka adalah nelayan.
Kerajaan telah meletakkan sasaran program itu dengan bilangan isi rumah seramai 1,000 HIR sebagai peserta sasaran.
Perhubungan dari Pulau Banggi ke Kudat satu jam perjalanan menaiki feri (Kudat Ekspress), manakala perhubungan dalam Pulau, menggunakan jalan raya ke Pekan Karakit, Jalan Gravel dan batu kuari di dalam Kampung dan hanya boleh dilalui oleh kenderaan persendirian dan jabatan.
Sebelum ini, Pulau berkenaan hanya mempunyai kemudahan asas yang hanya sekadar ada, iaitu dengan hanya mempunyai bekalan elektrik dari jam 6 petang hingga 6 pagi, mempunyai sebuah pejabat kesihatan (Pembantu Perubatan), sebuah Balai Polis, sebuah Kem Tentera, 14 Sekolah Rendah, sebuah sekolah menengah, sebuah Jabatan Pertanian, Masjid, Rumah Rehat dan sebuah jeti.
Projek membangunkan Pulau Bangi sebagai Projek Berimpak Besar secara berspadu itu dilaksanakan dengan kerjasama dan penglibatan pelbagai agensi dan jabatan termasuk Felcra, Kementerian Kemajuan Luar Wilayah (KKLW), Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS), Sabah Elektrik Sdn Bhd (SESB) dan banyak lagi.
Berdasarkan pelan pembangunan pelaksanaan projek berkenaan, ia dilancarkan dengan memberi penumpuan dan meningkatkan kemudahan prasarana asas untuk meningkatkan kualiti hidup penduduk Pulau Bangi, dengan objektif mengeluarkan seramai 400 KIR, iaitu 180 orang pekerja ladang, 200 orang peserta ikan sangkar, 20 orang pekerja ikan ikan sangkar daripada golongan miskin tegar dalam daerah Kudat menjelang tahun 2010 dan 600 KIR lagi menjelang tahun 2018 melalui pemberian dividen projek ladang sejahtera.
Seperti yang telah diperkatakan oleh Abdullah di Dewan Rakyat pada Mac lalu "Sektor pertanian disasarkan berkembagn sebanyak lima peratus. Sektor ini akan diberi nafas baru untuk menjadi tonggak ketiga pertumbuhan ekonomi. Kita perlu berfikiran progresif dengan keyakinan kita akan berjaya mengubah tanggapan tidak tepat bahawa pertanian merupakan aktiviti ekonomi yang mempunyai sedikit nilai ditambah serta menjana pendapatan yang rendah. Sektor tani sesungguhnya merupakan sumber kegiatan utama ekonomi masyarakat luar bandar"
Selain itu, ia juga memberi penumpuan kepada pelaksanaan penambaikan ke atas sistem penyampaian pendidikan dan latihan penduduk
Pulau Bangi menerusi program modal insan.
Aktiviti pembangunan terus dilaksanakan melibatkan ladang sejahtera, PPMS, Ternakan ikan dalam sangkar, jalan luar bandar dari Karakit ke Kampung Limbuak, bekalan air termasuk loji penapisan dan paip retikulasi dari Kampung Damaran ke Karakit, bekalan elektrik, jeti kargo, jalan luar bandar, modal insan, kajian sisio ekonomi, yang memperuntukan kos sebanyak RM235.05 juta.
]
Pembangunan Ladang Sejahtera
Bagi aktiviti pembangunan Ladang Sejahtera oleh Felcra dengan memberi tumpuan pembangunan ladang menerima peruntukan sebanyak RM43.50 juta dan infrastruktur ladang peruntukan RM19.35 juta, seluas 4,500 hektar.
Fasa pertama, 1,000 hektar dalam pelaksaan dan dijadualkan akan siap ditanam pada Ogos depan. Manakala pada Fasa kedua bagi keluasa 1,100 hektar dijadualkan bermula sejak 1 Jun lalu.
PPMS
PPMS bagi fasa pertama sebanyak 100 buah telah siap pada Jun lalu yang telah menerima peruntukan sebanyak RM6.20 juta. dalam fasa kedua melibatkan 100 buah lagi menerima peruntukan sebanyak RM10,00 juta. Fasa pertama telah pun siap, dan fasa kedua dijadualkan akan dilaksanakan tahun ini juga.
Ternakan Ikan Dalam Sangkar
Dilaksanakan Felcra yang mempunyai peruntukan sebanyak RM11 juta, 400 buah sangkar akan dilaksanakan tahun ini.
Jalan Luar Bandar
Melaksanakan projek jalan luar bandar dari Karakit ke Kampung Limbuak (18KM) yang di laksanakan oleh Kementerian Kemajuan Luar Wilayah (KKLW), sehingga awal Jun ini, ia pelaksanaannya 126 peratus siap dan dijadual akan siap sepenuhnya Jun 2009 (RM34.97 juta).
Bekalan Air
Pelaksanaan projek bekalan air melibatkan pembinaan sebuah loji penapisan yang telah pun siap dan akan diserahkan kepada Jabatan Bekalan Air. (Peruntukan RM30 juta). Manakala bagi pembinaan paip Retikulasi dari Kampung Damaran ke Karakit sebanyak 39 KM dengan peruntukan sebanyak RM0.99 juta dalam pembinaan siap dan dijadualkan siap sepenuhnya akhir 2008.
Bekalan elektrik 24 jam (sistem solar Hidrid)
Bekalan elektrik meliputi Kampung Karakit, Kampung Singahmata, Kampung Lok Tohok, Kampung Perpaduan dan Kawasan PPMS dibawah KKLW dan Sabah Elektrik Sdn Bhd (SESB). Ia sedang dalam persiapan tapak 70 peratus dan dijangka siap sepenuhnya Oktober 2008.
Jeti Kargo
Pembinaan sebuah jeti kargo di Kampung Timbang Dayang dijangka akan siap pada Ogos 2009.
Jalan Luar Bandar
Projek jalan luar bandar dari Kampung Kapitangan ke Kampung Dogotoh sejauh 25 KM masih dalam penyediaan rekabentuk.
Modal Insan
Manakala bagi pembangunan modal insan oleh Jabtan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) dengan melaksanakan empat kursus bina insan kepada 265 KIR bagi tahun 2008, masih dalam pelaksanaan. Pelaksanaan tahun 2008 sebanyak RM0.4 juta.
Kajian Sosio-Ekonomi
Masih dalam pelaksanaan

Sementara itu, Timbalan Ketua Menteri, merangkap Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Panglima Haji Yahya Hussien, ketika dalam lawatan berkata projek agropilitan yang kini sedang dilaksanakan meliputi infrastuktur elektrik, jalan raya dan bekalan air bakal dinikmati rakyat di pulau berkenaan.
"Dengan penanaman getah dan tanaman lain, walaupun pada awalnya menghadapi masalah kesesuaian tanah dan saliran, tapi saya yakin ia dapat diatasi, seterusnya dapat meningkatkan taraf hidup penduduk seramai 14 ribu orang penduduk,"katanya sambil menyaran rakyat pulau berkenaan mempelbagaikan sumber pendapatan harian sekali gus menambahbaikan taraf sosio-ekonomi mereka.
Menurutnya, meskipun majoriti daripada mereka terlibat secara langsung dalam Projek Agropolitan kelolaan Felcra, ia tidak bererti penduduk kampung perlu meninggalkan tradisi lama iaitu turun ke laut menangkap ikan.
Melihat potensi yang ada bagi tanaman kontan di kawasan berkenaan, Yahya menasihatkan rakyat di kawasan itu menggunakan sepenuhnya kawasan tanah terbiar dengan tanaman seumpama itu untuk kegunaan harian.
"Langkah tersebut sedikit sebanyak dapat meringankan beban mereka berikutan kenaikan harga minyak dan barangan keperluan," katanya.
Ketika melawat kawasan projek pembinaan perumah, Yahya berkata rakyat akan menikmati segala kemudahan infrastruktur yang cukup dan persekitarannya lebih baik daripada kawasan perumahan di tempat lain.
" Difahamkan menerusi pencapaian pelaksanaan projek lonjakan mega luar bandar di sini,100 buah rumah lagi sedang dalam pembinaan, dan ini akan didiami oleh rakyat di sini," katanya sambil memberitahu projek agropolitan itu akan dikendalikan oleh Jabatan Pertanian.
Setakat ini, jelas Yahya, orang kampung belum lagi berpindah ke rumah berkenaan sehingga dimaklumkan.
"Satu perbincangan antara Jabatan Pertanian Sabah, Fecra akan diadakan untuk memutuskan bila mereka dibolehkan untuk berpindah dan menggerakkan projek pertanian lain sekali gus dapat mengatasi krisis makanan yang berlaku kini," katanya sambil memberitahu, ia adalah tanda keprihatinan kerajaan terhadap kebajikan rakyat.

No comments:

Post a Comment