Monday, March 30, 2009

Bergelap untuk selamatkan bumi

==============================
MALAM Sabtu lepas, kempen bergelap "Earth Hour" atau "Detik untuk bumi" disahut oleh warga negeri ini. Meskipun hanya sebahagian saja yang menutup lampu tanda kerjasama dan sepakat mengurangkan kadar kepanasan suhu bumi.

Namun kita turut berbangga kerana Malaysia menduduki tangga ke enam selepas Amerika Syarikat, mempunyai purata jumlah yang terlibat menutup lampu.

Sebelum ini, Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Masidi Manjun, mengumumkan dan mengalu-ngalukan kerjasama rakyat Negeri Sabah untuk menyertai kempen selama sejam itu.

Dasarnya, kempen itu dikatakan satu tindakan secara simbolik untuk mendidikdunia tentang keperluan bagi mengambil langkah untuk mengelakkan pemanasan suhu global yang banyak memberi kesan negatif kepada alam sekitar.

Seperti yang semua tahu, peningkatan suhu global telah mengakibatkan kemusnahan tumbuh-tumbuhan. Tidak perlu menunggu kesannya 20 atau 50 tahun akan datang, saat ini juga sudah nyata pelbagai fenomena alam berlaku tanpa diduga.

Kejadian Tsunami, Al-nina, Al-nino termasuk kecairan ais yang dikatakan berlaku di Kutub-Utara sehingga membawa kenaikan paras air laut di dunia.

Menurut Masidi, Detik untuk Bumi ini adalah satu kempen bagi mengingati dan mendidik masyarakat seluruh dunia tentang keperluan bagi kita untuk mengambil langkah-langkah perlu bagi memastikan dunia tidak menemui kemusnahan akibat daripada kelalaian manusia itu sendiri.

Malam itu, sebelum detik 8.30 saya singgah sebentar di Pasar Malam untuk membeli sedikit makanan. Terfikir juga, balik ke rumah nanti pasti tidak dapat memasak.

Kelihatan suasana di pekan kecil itu sudah terasa kian sunyi kerana kebanyakkan kedai sudah tutup. Terdengar juga bisik-bisik orang kiri dan kanan. "Mau balik cepat ni, nanti SESB kasi tutup lampu,".

Sampai-sampai rumah saja, jam sudah menghampiri jam 8.30 malam. Dua teman serumah sedang leka membaca majalah di ruang tamu sambil menonton TV.

"Makan cepat, kejap lagi mau tutup lampu," kata salah seorang teman serumah.

Detik 8.30 tiba, kelihatan di luar rumah sudah gelap. Kami sudah pun mematikan lampu. Hanya tinggal cahaya kenderaan lalu lalang saja. Sambil duduk berbual kosong dengan teman serumah, sempat juga saya berSMS bertanya kawan-kawan lain dan keluarga bertanya keadaan di tempat mereka.

Ada yang menyokong kempen itu, ada juga yang tidak, malah ada juga yang keliru dan tidak faham samada menutup lampu dengan sendiri. Macam-macam reaksi orang ramai diterima.

Namun, sejauhmana berkesannya kempen ini? masih relevankah tindakan kempen berkempen ini diadakan?

Saya tertanya sendirian, apakah ia satu tindakan yang sia-sia atau sekadar menunjukkan komitmen sesetengah golongan yang berpengaruh.

Kerana saat itu, pelbagai acara sedang berlangsung di kaca TV dan majlis-majlis penting berlangsung. Apatah lagi syarikat-syarikat gergasi yang bergantung kepada aliran tenaga elektrik sebagai penggerak utama.

Sebelum ini pun, kedengaran juga persefahaman yang terjalin seperti perjanjian Rio De Geniro, Brazil untuk kepentingan alam dan bumi hijau. Namun, usaha itu dianggap berat sebelah dan diskriminasi terhadap Negara-negara bukan maju termasuk Malaysia.

Tidak kurang dengan itu, galakan kitar semula misalnya. Berapa kerat saja manusia yang mengambil langkah itu sebagai budaya hidup seharian?. Galakan tidak menggunakan beg plastik, pun sekadar berada di atas angin saja.

Memang ada syarikat swasta atau pusat membeli belah yang memperkenalkan alternatif (beg) untuk mengurangkan penggunaan plastik. Memanglah bagus, kerana dapat mengurangkan pencemaran, kitar semula dan sampah.

Tapi, ia hanya bersifat sementara. Malah, selepas diperkenalkan tiada pula tindakan selanjutnya atau meneruskannya dibuat. Sekadar menjual dan memperkenalkan kepada umum saja tanpa ada tanda-tanda sokongan.

Penggunaan penghawa dingin, racun serangga, peti ais, racun perosak, asap kenderaan dan sebagainya semuanya menyumbang kepada peningkatan suhu bumi.

Realitinya, semua itu adalah kelengkapan yang digunakan oleh manusia setiap hari. Pastinya usaha itu agak sukar tanpa kesedaran dari semua pihak.

No comments:

Post a Comment