Tuesday, March 31, 2009
Wanita digesa libatkan diri dalam EKS
========================================
Golongan wanita harus merebut peluang yang diberikan kerajaan untuk menceburi bidang perniagaan khususnya dalam Enterpris Kecil dan Sederhana (EKS).
Presiden Persatuan Usahawan Profesional dan Wanita Profesional (Swepa), Dolly Jimayol Hiew, berkata pada Pakej Rangsangan Kedua, kerajaan telah mengumumkan untuk menekankan kepentingan EKS yang akan menyumbangkan 32 peratus terhadap Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Negera ini.
Katanya, peluang itu harus direbut oleh golongan wanita untuk menjadi sebahagian daripada penyumbang terhadap pembangunan ekonomi Malaysia.
"Pengumuman yang dilakukan oleh Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak itu merupakan pakej rangsangan besar.
"Sebahagian besar daripadanya boleh menyokong dan membantu EKS dari aspek bantuan kewangan dan pinjaman kecil untuk mengembangkan perniagaan mereka," beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Bengkel Usahawan Wanita di sini kelmarin.
Bengkel itu anjuran Jabatan Hal Ehwal Wanita (JHEWA), Persekutuan Pertubuhan Wanita Dalam Perniagaan (FEM) dan Perbadanan Pembangunan Industri Kecil dan Sederhana (SMIDEC).
Ia bertujuan untuk memberi pendedahan kepada usahawan wanita mengenai program-program pembangunan yang disediakan oleh kerajaan serta meningkatkan pengetahuan dalam beberapa aspek penting dalam perkembangan dan pembangunan perniagaan agar lebih kompetitif dan terus berdaya saing.
Jelas Dolly, ini merupakan satu kesinambungan daripada siri bengkel yang telah berjaya diadakan pada tahun lalu di beberapa negeri termasuk Johor, KL dan Kedah. pada tahun ini tiga siri bengkel seumpama ini akan diadakan di Sabah, Kelantan dan Sarawak.
"SMIDEC yang merupakan sebuah agensi kerajaan berperanan membantu pembangunan Enterpris Kecil dan Sederhana (EKS) melalui khidmat nasihat, bantuan kewangan dan fiskal, infrastruktur, pasaran serta lain-lain program pembangunan EKS.
"Penganjuran itu mampu memperlihatkan kegiatan mantap dan aktif agensi kerajaan dan Badan Bukan Kerajaan (BBK) untuk menggalakkan kaum wanita di Sabah khasnya dan di Malaysia amnya agar bergiat aktif dalam dunia keusahawanan," katanya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment