Catatan ketika dia jatuh cinta
pada, 4 April 2008, 3.08pm
======================
Kali pertama keluar makan malam bersamanya
Pada detik sejarah 29 Januari,
Gadis itu sudah jadi impian,
Terasa senyumnya begitu manis,
Tutur bahasanya lembut berbudi,
Kulit putih dengan bibir yang merah,
Dan selalu mengukir senyum saat matanya menatapku.
Terasa mau saja hidung ini mencium pipinya,
Tapi hati berkata tidak,
Kerana dia seperti ada yang punya
Saat berlalu pantas, masa beredar cepat
Dan untuk kesekian kalinya,
Kami terus keluar bersama
Menyelami hati budi dan pekerti masing-masing
Lalu pintalan kemesraan dan jalinan perkasihan makin erat
Aku mulai pandai cemburu,
Tatkala ada jejaka memesrainya
Aku mulai jadi keliru,
Tatkala dia tiada di depan mataku
Ampun Tuhan, beginikah rasanya jatuh cinta.
Aku tidak tahu bagaimana cinta ini bermula
Tiba-tiba saja begini perasaan menghiba
Kali pertama bertemunya ketika aku menjejaki tempat ini
Tiada apa yang mengamit naluri
Kecuali bintik-bintik tahi lalat pada raut wajahnya
Pada pipi yang gebu lagi mengeramkan itu,
Waktu itu hati kecilku berbisik juga
Sayang sekali, dia seperti sudah ada yang punya
Telefon bimbitnya tidak pernah sepi berdering
Jari-jari comelnya tidak pernah penat berSMS
Wajahnya cukup ceria,
Menggambarkan ada seseorang bertakhta di hatinya
Dan akupun tidaklah mengambil tahu, lantas membiarkannya saja
Dan hatiku pula sering berbisik sendirian
Dia ini tidak mungkin tercipta untuk aku
Tetapi sikap dan prihatinnya sungguh memaut hati
Kemesraannya tinggi menggunung
Prihatinannya menyapa lembah kerinduan
Ketika perut kelaparan, dia menawarkan makanan
Ketika tekak ini kehausan, dia hidangku minuman
Ketika tiba ulangtahun kelahiranku, dia meraikannya
Lalu aku yang dalam kontang hati dan jiwa
Terisi kekosongan, terubat kepiluan
Seperti sepohon bunga di pasu yang terbiar kering
Datang disirami sejuk air yang diidamkan
Maka segarlah semula dari kelayuan
Mekar kembali sebuah kehampaan
Aku memerlukanmu,
Tapi dia seperti memencil diri
Aku mendambakan diri untukmu,
Tapi dia selamba berpura
Aku tawarkan kuntuman cinta kasih
Aku hulurkan salam perkasihan
Mekar semerbak cempaka di laman
Ku hulur sebuah kejujuran,
Ku bina sebuah impian,
Mahligai kebahagian di atas pasir duka
Kubina tangga ke langit
Mengapai awan yang berarak perlahan
Hari demi hari terus berlalu,
Cintaku makin mendalam,
Rinduku sukar ditenteram
Cintanya seputih awan yang berarak
Tapi mustahil untuk dapat aku petik
Kerana tangga yang kubina ke langit
Tiada tempat aku menyandarkannya
Gembira hati berbaur sendu
Terubat duka pilu,
Terkadang aku jadi pemalu
Pada usia ini aku boleh jadi seorang perindu
Tapi aku tidak mungkin dapat menjauh diri
Di sini
Di tempat ini
Aku temui erti kasih sayang
Di sini
Di tempat ini
Cintaku bersemi lagi
Abadi hingga jasad bersemadi
Kasihku,
Izinkan aku merindumu selamanya
Biarpun gembira ini hanya persinggahan sementara
Biarpun kau bukan tercipta untukku
Biarpun cintamu dicipta untuk orang lain
Hari ini, sendu jiwaku terasa berdebar
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment