Tuesday, March 24, 2009
Malam Amal Anggun Warisan akan diadakan di 1Borneo
KOTA KINABALU: Malam Amal Anggun Warisan II bakal menghimpunkan ilham rekaan pereka-pereka fesyen terulung dari Filipina dan tiga rumput nusantara seperti Brunei, Indonesia dan Malaysia.
Penganjuran sempena sambutan Ulang Tahun ke-9 Bandaraya Kota Kinabalu, anjuran oleh Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) itu bermula Khamis ini sehingga Ahad di Atrium Centre, 1Borneo Hypermall.
Kemuncak acara pada Malam Amal Anggun Warisan 2 pada Ahad di 1Borneo Ballrom dengan pertunjukkan ilham kreativiti pereka fesyen yang mengambil bahagian, bakal diperagakan oleh model tempatan dan luar negara.
Berkata pada sidang media di '1Borneo East India Ballrom', di sini kelmain, Datuk Bandar Kota Kinabalu, Datuk Iliyas Ibrahim, memberitahu acara itu merupakan kesinambungan daripada pengajuran Malam Amal Anggun Warisan Batik & Songket pada tahun lepas dan Pertunjukan Batik yang diadakan pada tahun 2007.
Katanya, sambutan menggalakkan daripada kedua-dua acara itu, pihaknya sekali lagi menganjurkan Malam Amal Anggun Warisan ke2 yang bertemakan Warisan Nusantara.
"Kali ini kita luaskan lagi penyertaan daripada pereka-pereka fesyen tersohor dari beberapa negara luar Brunei, Filipina dan Indonesia dan tidak ketinggalan pereka tanahair sendiri.
"Antara yang mengambil bahagian, termasuk pereka dari Malaysia, Nazari Maarus yang pernah memenangi Anugerah Khidmat Cemerlang 2002 hingga 2006 dan merupakan pemenang kedua dalam pertandingan Fesyen Batik Piala Sri Endon 2003," katanya.
Sementara itu, katanya dari Indonesia, Nita Azhar, Seruddin Awang Damit (Brunei) dan Boy Guino dari Filipina.
Jelas Iliyas, pada malam kemuncak acara pelbagai acara diadakan termasuk persembahan tarian dan nyanyian penyanyi terkenal dari seberang, Kris Dayanti, Azahrina dan Felix (AF3).
"Di samping itu, kita turut mengadakan lelongan tiga lukisan berharga RM10,000.
"Hasil keuntungan yang diperolehi pada penganjuran itu akan disumbangkan kepada Yayasan Tun Ahmadshah." katanya.
Menurutnya, kutipan sumbangan dari penganjuran tahun lalu berjaya mengumpul sebanyak RM48,000.
"Justeru, saya harap, kita dapat mencapai sasaran kutipan sumbangan lebih RM50,000," katanya.
Dijangka turut dihadiri oleh Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Datuk Seri Panglima Haji Ahmadshah dan Toh Puan Datuk Seri Panglima Hajah Dayang Masuyah Awang Japar serta Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman.
Pengajuran itu melibatkan 18 penaja termasuk 1Borneo Hypermall, Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia, Habib Jewel dan banyak lagi.
Turut hadir, Pengarah Jabatan Pengurusan dan Pelaburan Harta DBKK merangkap pengerusi penganjur, Noorliza Awang Alip, barisan pereka fesyen yang terlibat, Nazari Maarus, Seruddin Awang Damit (Brunei), Boy Guino (Filipina), Pengarah Kumpulan Sagajuta Sabah Sdn Bhd, Tan Tiang Lai dan para penaja lain.
p/s: Macam best jak... macam mau pg bah malam kemuncak acara, (ada juga bahan untuk Citrahawa) tapi pgi tu senang, mau balik rumah macamana? *&%$@^^**%$
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment