Sunday, March 15, 2009

Cinta si Aning-Aning

Catatan 15 Mac 2009
================
Setahun lalu, kedengaran riang tawa si gadis kecil di tengah-tengah kota. Dalam dunianya hanyalah impian dan kehidupannya yang semakin mengembirakan. Kerana baginya, tidak mudah berada di tempat dia berdiri ketika itu.

Apa yang dimilikinya ketika itu harus dihargai setinggi mungkin. Dia tidak pernah sesekali dilepaskan peluang keemasan sebegitu.

Dalam perjalanan kehidupannya yang baru itu, tanpa disedari diri si gadis menjadi dambaan seseorang yang tidak pernah diduganya.

Tidak pernah dia tahu setiap telatah dan sikap mesranya menjadi lirikan seseorang, tidak pernah juga si gadis tahu setiap panggilan yang diterima cuba diselidiki oleh seseorang.

Setiap kali berlalu di hadapannya, setiap kali itu jugalah jejaka itu cuba untuk mendekati. Bermacam cara untuk menarik perhatian si gadis namun tidak pernah disedari dan menerima reaksi yang positif.

Hari demi hari berlalu, keakraban yang lahir dari persahabatan terlerai dengan lafaz sebuah ungkapan yang tidak pernah disangkakannya. Hadir sebuah perkasihan yang begitu murni dan suci dari keduanya.

Sesungguhnya, cinta itu buta. Jalinan itu terus mekar dan membawa bersama keceriaan yang turut memberi sinar dalam kehidupan mereka bersama.

Hadirnya si gadis seperti mengisi kekosongan yang ada dan terasa bermakna. Ruang kerinduannya yang selama ini hilang ditemui kembali bersama keriangan dan kemanjaan si gadis yang merubah hidupnya.

Janji demi janji dimeterai bersama. Jurang yang ada tidak menghalang kasih mereka. Pengharapan untuk hidup bersama juga sudah dilafazkan, hanya menunggu waktu dan masanya.

Di samping orang yang disayanginya, apa lagi yang dimahukannya. Si gadis itu tidak pernah memandang apa saja yang menghalang atau memperdulikan sesiapa saja yang hadir untuk menyekat kebebasannya.

Baginya hanyalah kegembiraan dan betapa bahagianya hidup ini rasa disayangi sebegitu rupa. Ketika itu, hanya satu saja kemahuannya agar impian untuk hidup bersama yang tersayang akan tercapai.

Setiap doa dan pengharapan dipanjatkan agar dimakbulkan Tuhan.

Namun, seperti dalam kebanyakkan drama dan cerita manusia, apa yang dirancang tidak semestinya menjadi kenyataan. Sesungguhkan benar kehidupan ini tidak mempunyai jalan cerita yang kita ketahui.

Semua harapan dijulang dalam diam hancur punah bersama linangan air mata dan jeritan penuh kekecewaan. Siapalah tahu nasib dan kehidupan ini.

Hidupnya yang bersinar ceria kini pudar dan tidak bermaya. Setiap langkah yang dilaluinya mengingatkan semua kenangan bersama.

Setiap hari bertemankan duka dan kenangan yang pernah dilalui bersama.

Kerjaya yang diimpikan selama ini pun sudah tidak diendahkannya lagi. Kebahagian yang dikecapinya kini sudah berada di hujung tanduk.

Penghidupannya kini hanya untuk cintanya yang masih berharap itu.

Dalam diam, gadis itu mencari masa untuk menenangkan jiwa dan memikirkan sesuatu yang positif untuk masa depannya sendiri.

Namun, kekuatan yang dicari tidak ditemui. Hanya yang menjadi teman ketika itu airmata dan raungan yang tidak didengari oleh sesiapa saja. Setiap bayangan ngeri dan mimpi-mimpi menakutkan sering menghantuinya.

Si gadis sendiri tidak tahu adakah lagi pengharapan itu. Kehidupannya tiba-tiba menjadi gelap dan hitam seperti masa terhenti secara tiba-tiba. Semangatnya untuk hidup sudah tiada sinarnya. Segala-galanya sudah berakhir.

Si gadis akhirnya menjadi kaku dan teman setia dinding putih dalam sebuah bilik kosong bersama kenangan-kenangan lalu yang masih segar dalam ingatannya.

Apa yang tinggal hanyalah sebentuk cincin yang terpahat nama dan tanda perkasihan mereka.

No comments:

Post a Comment