Wednesday, March 11, 2009

Tiada keterpaksaan dalam membuat pilihan

Catatan pada 22 Februari lepas
Saya masuk agak lewat hari ini (kelmarin) ke pejabat kerana ada hal yang perlu diselesaikan. Sudah ada beberapa rakan berada di pejabat, tidak seperti selalu. Masuk-masuk pejabat saja, awam mendung berarak diluar tingkap.
Dalam hati, nasib baik sempat sampai ke pejabat. Pejabat di setiap hari Ahad yang terasa agak panas, hari ini terasa dingin kerana hujan lebat di luar. Syukur...
Petang itu, saya mendengar satu lagi kata nekad oleh seorang rakan pejabat. Beliau berhasrat untuk berhenti atau mengurangkan merokok kerana katanya sejak kebelakangan ini, kesihatannya sering terganggu.
Semoga beliau berjaya dalam mencapai apa yang diinginkannya, kerana sudah sekian lama beliau menyatakan hasratnya itu. Namun, kerana tugasan dan aktiviti hariannya sering membuatkan beliau lupa dan sibuk dengan aktiviti 'kurang sihatnya'.
Apa nekad saya? perlukah satu nekad? Saya tidak perlukan nekad. Cukuplah saya dapat melakukan sesuatu perkara dengan sempurna dan terbaik. (eh..bukan itu juga satu nekadkah?
Dua hari lepas, saya menerima perkhabaran yang mungkin sedih dan mungkin juga gembira.
Gembira kerana sahabat baik yang jauh berada di Pulau Pinang akan menamatkan zaman bujangnya tidak lama lagi. Ucapan tahniah saja yang mampu saja katanya kepadanya.
Katanya, beliau baru diberitahu oleh kakaknya bahawa dirinya sudah lama di 'usha' oleh seseorang jejaka yang tidak dikenali. Baru-baru ini, keluarga lelaki itu masuk merisik bertanyakan perihal dirinya.
Kerana terkejut dan tidak disangka, beliau hanya meminta masa untuk berfikir.
Emmm...teruja juga saya ingin mengetahui lebih lanjut apa keputusannya. Apa yang saya tahu, beliau baru saja putus cinta dan tidak pernah pula saya diberitahu tentang perancangannya untuk menamatkan zaman bujang dalam masa terdekat ini.
Nampaknya kepulangannya ke kampungnya baru-baru ini akhirnya membawa perkhabaran gembira yang bakal mengubah hidupnya.
"Saya tidak pernah menemuinya, bagaimana untuk saya hidup semati dengannya". katanya perlahan dan meminta saya memberikan kata nasihat kepadanya. Namun, perbualan kami terputus, bukan kerana saya tidak mempunyai jawapan, tapi kerana telefon saya kehabisan 'kredit'. Aduhai...
Di hujung talian itu, saya termangu seketika memikirkan apakah agaknya keputusan yang beliau akan pilih. Saya tidaklah pakar dalam soal jodoh apalagi untuk menasihati orang lain kerana diri sendiri juga tidak terurus lagi.
Namun, sebagai sahabat, sudah pastinya saya ingin melihat beliau hidup bahagia walaupun di lubuk hati sedikit terasa dan sebak akan kehilangan seorang lagi sahabat.
Adakah beliau memilih jejaka itu kerana sudah tiba masanya beliau berkahwin?. Sekurang-kurangnya luka yang masih berdarah kerana putus cinta sedikit terubat. Atau mingkinkah beliau menolak lamaran yang kelihatan sudah direstui oleh keluarga kedua belah pihak?
Mengenai keputusan beliau, lantas saya berfikri. Bagaimanapun pula andai diri kita berada dalam keterpaksaan dan dihimpit pula dengan rasa sayang? Manakah jalan yang perlu kita selusuri? Adakah wajar melakukan sesuatu yang kita tidak mahu kerana rasa simpati atau sayang?.
Bagaimana pula andai nyawa di hujung tandung, perlukah kita melompat terjun ke bawah atau berundur menghadapi segala yang sudah berlaku?.
Apakah yang terjadi andai kita bersikap hipokrit semata-mata terpaksa melakukannya kerana rasa sayang meninggalkan. Ah terlalu banyak ungkapan 'atau' dan persoalan dalam hidup ini.
Betapa sukarnya membuat keputusan yang tidak memerlukan fakta dan akta. Tidak seperti hakim yang memutuskan satu-satu hukuman berdasarkan undang-undang atas kesalahan yang dilakukan.
Mungkin ada yang mudah berkata untuk kita berbuat itu ini, namun diri sendiri yang lebih merasa.
"Jangan ada keterpaksaan dalam kita membuat pilihan. Pilih apa kata hati naluri. Naluri hati biasanya jernih. Pilihlah rasa sayang kerana sayang yang tulus mampu memberi jalan keluar dengan sendiri," teringat kata-kata seorang abang dan sahabat.
Di samping mendengar suara ibu, pesanan itulah memberi saya sedikit sebanyak kekuatan apabila berhadapan dengan keterpaksaan. Apa yang pasti apa juga keputusan yang diambil pasti memerlukan pengorbanan dan hikmahnya yang kita sebagai manusia tidak mengetahui.
Tiada yang lebih membuatkan hidup ini tenang dan bermakna, melainkan rasa gembira dan ikhlas dalam setiap langkah ke hadapan. Ini bukanlah kata-kata kecewa namun tidak salah untuk kita munasabah siapakah diri kita sendiri. Tiada siapa yang dapat sayangkan diri kita andai kita sendiri tidak menyukainya.

No comments:

Post a Comment