Pengharapan dari si isteri malang
Catatan pada 15Februari lepas
AGAK payah untuk ku bangit dari tidur pagi ini. Kelihatan berpinar pandanganku. Hanya beberapa jam saja tidurku kerana semalaman tidak dapat melelapkan mata. Ku capai minyak angin dan ku sapu ke kepala. Terasa sejuk dan panas. Kalau di rumah ketika ini, tentu masih liat untuk bangun.
Apa yang berlaku ke atas diriku, seperti baru semalam terjadi. Walau menangis airmata darah sekalipun segalanya tidak mungkin berubah.
Kerinduanku pada kejauhan hanya sia-sia saja apabila semua yang diimpikan selama ini hanyalah bayangan kosong yang langsung tidak membawa apa-apa makna dalam hidup.
Ku galas bahu ini untuk menyudahkan kerja di rumah yang belum selesai semalam, sebelum keluar bekerja. Segalanya ku lakukan dengan perlahan kerana hari ini terasa badan ini tidak seberapa sedap. Kebetulan kandunganku kini semakin berat membuat kerjaku sering terhenti.
Kalau suamiku ada pasti aku tidak dibiarkannya begini susah. Tapi dimanakah dia?
Aku bersama kandunganku yang sudah mencecah empat bulan itu berjalan di lorong kecil menuju ke restoran tempatku berkerja. Aku sekadar mengambil upah membasuh pinggan di sebuah kedai makan India di hujung bangunan pekan ini. Itu sajalah kerja yang dapatku lakukan setelah apa yang menimpaku sebelum ini. Oh Tuhan...rindunya aku kepada suami.
Ku hapus airmata ini lagi. Ah, semua ini erti sebuah kehidupan. Kataku sambil memegang insan yang bakal ku lahirkan dalam masa empat atau lima bulan lagi.
Sesampai ke kedai makan itu, sudah berlambak pinggan dan gelas menunggu. Semuanya harus dibasuh sebelum pelanggan ramai. Tentu 'anne' akan memarahiku pula.
Tanganku pantas dan ligat menyudahkan segala tugasku. 'Anne' sudah mula menjerit memanggil namaku mengambil 'order' dari pelanggan. Walaupun itu bukan tugasku, namun tidak mengapalah aku sekadar membantu mana yang patut.
Sehingga lewat petang barulah ku pulang dan membawa beberapa keping roti canai kerana tidak habis di makan tadi.
Perjalanan yang ku selusuri siang tadi ku lewati lagi. Bersendirian lagi malam ini. Langkah yang dihanyunkan begitu ringan sehingga seolah-olah seperti melayang di angkasa.
Teringat tentang kenangan sewaktu mula-mula bertemu dengan suami. Kenangan itu amat indah sekali sehingga kini setiap baris kata-katanya membawa seribu pengharapan buatku walaupun aku sendiri tidak pasti benarkah pengharapan itu wujud.
"Ya, aku akan menjaga diri untuk masa depan dia," Teringat aku pesanan suami sebelum aku mengambil keputusan untuk ditinggalkan. Ah...bukan. Bukan...aku yang meninggalkan dia. Tapi keadaan memaksa aku meninggalkan semuanya. Kenapa semua ini harus ku tempuhi?. Inilah bumi manusia.
Peristiwa demi peristiwa yang berlaku di akhir pertemuan aku dan suami silih berganti dalam ingatanku. Kebersamaan dan keterpaksaan semuanya berlaku tanpa disedari, sehinggakan lupa akan realiti siapa diri ini?. Jauh sekali pandangan ini ke hadapan tapi tidak dapat menggapai apa yang diharapkan.
Tahu-tahu saja aku sudah dihadapan pintu bilik sewa ku. Mampukah aku tersenyum lagi? Ah...adakah ini takdir? Inilah kejamnya manusia pasti mempersalahkan takdir apabila musibah menimpa diri. Seringkali mengeluh apabila letih melangkah jauh, seringkali menangis apabila masalah datang menimpa.
Tapi, layakkah aku untuk meminta? Layakkah aku untuk minta tunaikan pengharapan yang satu itu Ya Tuhanku? Kau tolonglah hambamu ini dan kuatkanlah semangatnya untuk menjalani setiap kepayahan yang akan dilalui.
Di langit sana, kau lindungilah suamiku. Berilah peluang kepadanya untuk menunaikan janji kepada keluarganya.
Sebelum melelapkan mata, walau dimana suamiku berada ku berjanji akan ku jaga dan membesarkan anak ini sepertimana yang kau mahu dengan penuh kasih dan sayang tanpa seorang ayah walaupun derita tersedia di depan mata.
ya menulis lagi
4 months ago
No comments:
Post a Comment