Tuesday, April 7, 2009

Dia jangan kau pukul

Dia adalah jantung hatiku, tiada dia mungkin aku menjadi gila. Jangan kau pukul dia. Selagi hayat ini masih ada biarlah aku yang menjadi tempatnya menagih kasih dan manja.

Seribu riak di wajahnya tergambar sejuta keriangan meskipun dia punya banyak kekurangan. Tidak pernah dia minta dilahirkan sedemikian. Malah, kau juga pernah katakan yang dia juga begitu, tidak minta dilahirkan dengan serba kekurangan.

Namun, kau jangan lupa. Tanpa dia hidup ini tiada sinarnya, tanpa dia hidup ini suram dengan gelak tawanya dan suara jeritnya.

Aku tahu kau amat menyintai dan menyayanginya malah mungkin juga sepertiku akan gila kalau dia tiada, tapi mengapa kau perlakukan dia seperti itu???

Apalah dayanya kau jadikan dia seperti anjing? padahal kau sendiri tahu akan keupayaan dia. Dia bukanlah tempat untuk kau lepas segala kemarahan dan ketegangan yang ada. Dia adalah tempat untuk kau lepaskan limpahan kasih sayangmu....

Malam kelmarin, aku menghubungi dia. Agak lewat juga, tapi aku tahu bila aku yang menghubungi dia, tidur nyenyak pun pasti dia akan terjaga.

Luluh hati mendengar suaranya yang agak ceria di hujung talian. Walaupun agak serak suaranya tapi tergambar sekali reaksinya. Mesti dia juga rindukan aku.

Tersenyumku seketika membayangkan apa yang sedang dia lakukan ketika itu. Banyak perkara yang dia ingin katakan, excited yang amat.

Namun, aku tahu di sebalik itu semua tersimpan seribu kepahitan dan kata-kata yang tidak dapat terluah kepadaku.

Ah...ingin benarku terbang kesana berjumpanya dan memeluknya. Biarlah bahu ini dipeluknya, biarlah paha ini menjadi bantalnya ketika dia sedih... biarlah tangan ini menyusap airmatanya. Tuhanku...rindunya padanya.

Maafkan aku kerana tidak berada di sampingmu tika kau berduka... ada rezeki dan ada waktu, akan ku bawa kau ke tempat ini agar kau jauh dari segala kepahitan dan kesepian yang kau tanggung selama ini.

No comments:

Post a Comment