Rabu lalu, aku bergegas pulang ke kampung setelah mendapat berita yang amat mengejutkan. Sepupuku meninggal kerana sakit yang tidak tahu sejak bila dia hidapi. Aku sendiri terkejut dan tertanya-tanya arwah tidak kelihatan sakit atau menderita apa-apa. Wajahnya yang putih dan dia seorang pendiam tidak disangka pergi dahulu daripada ayahnya yang sememangnya sudah terlantar lama kerana sakit tua.
Sampai ke kampung, aku terus mendapatkan ibu arwah yang juga makcikku yang ku panggil 'bukde'. Dia juga pernah menjadi pengasuhku dari kecil sewaktu ibu pergi bekerja. Melihat ku meluruh dari muka pintu, bukde terus memelukku dan menangis "adikku sudah pergi..." aku yang pada mulanya tidak menangis akhirnya kalah dengan airmata seorang ibu.
Lantas, niat untuk menenangkannya sudah terbalik...aku pula yang sakan menangis...Mulalah bukde dan sepupu lain bercerita tentang arwah yang kononnya meninggal di Lahad Datu. Seperti kebiasaan di tempat rumah kematian, banyak juga mulut-mulut yang gatal mengatakan itu ini mengenai perihal orang yang meninggal dunia. Jengkel juga mendengar...
Sebelum sakit, arwah pernah datang ke kk untuk bekerja. Tidak pula aku mengetahui dan menghubungiku di sini. Setahu juga, arwah seorang yang sangat lemah lembut bercakap dengan orang terutama ibu bapanya. Tidak pernah aku mendengar arwah meninggi suara dan sikap patuhnya sangat menyedarkan aku betapa perlunya patuh kepada orang tua.
Ketika hidupnya, arwahlah yang menjadi teman baik bapanya yang sakit terlantar. Dialah teman bercerita, dialah teman bergelak ketawa, teman semandi dan makan. Perginya tenghari Rabu itu, benar-benar kehilangan pada semua terutama bapanya sehingga bapanya jatuh sakit dan meracau mencari arwah.
"Kenapa kau pergi dulu dari aku nak... kau tunggu aku ya nak..." itulah yang sering dikatakan oleh bapanya (pakcikku).
Lebih menyedihkan lagi ketika semua adik beradik dan sanak saudara berkumpul memberi penghormatan terakhir sebelum arwah di mandi dan dikafankan.
Suasana benar-benar menghibakan sehingga aku sendiri tidak dapat menahan sebak dan hanya terduduk di pinggir rumah...
Selama tiga malam aku berada di kampung dan hanya bertandang ke rumah bukde. Murahnya rezeki arwah...sepanjang kenduri tahlil dan bacaan yasin, terlalu ramai yang datang dan memberi sedekat berupa makanan ataupun wang ringgit.
Pada malam ketiga juga begitu, kerana terlalu ramai yang datang. Majlis makan kenduri terpaksa dilakukan dua kali kerana nasi yang disediakan tidak cukup dan tiada ruang lagi untuk duduk.
Hari ini, aku kembali meneruskan tugasanku. Sebelum bertolak, sempat juga ku melawat bukde, sekurang-kurangnya tidaklah dia tertanya2 sekiranya aku tidak kelihatan pada kenduri arwah selepas ini.
Semoga roh arwah ditempatkan bersama orang-orang yang beriman. Kebaikan dan kepasrahanmu menghadapi apa yang kau alami begitu abadi dalam nurani setiap orang yang menyayangimu...Amin. (al-fatihah)
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment