Sunday, May 10, 2009

Ingatan di Hari Ibu

Catatan UB pada 10 Mei 2009

Kasihnya ibu membawa ke syurga kasihnya ayah sehingga selamanya. Meskipun begitu, kedua-duanya tetap mencurahkan sepenuh kasih sayang terhadap anak-anak tanpa berbelah bagi.

Sempena hari ibu yang disambut seluruh dunia kelmarin, terdengar ramai rakan-rakan mengadakan pelbagai acara sambutan buat ibu kesayangan masing-masing. Ada yang memohon cuti untuk membawa ibu tersayang meraihkannya di luar, ada yang membelikan pelbagai jenis hadiah dan ada juga yang hanya sekadar memberikan ucapan ringkas tanpa sayang.

Walau apapun cara anda meraikannya, ingatan tulus ikhlas buat ibu adalah lebih bermakna. Tidak yang lebih berharga daripada berada dekat dan mendapat limpahan kasih sayang ibu ataupun ayah.

Dari itu, dakaplah ibumu seerat (seperti 'tagline' sebuah station televisyen sempena Hari Ibu) dan beradalah di sisinya selagi masa masih ada.

Sempena Hari Ibu kelmarin, Citra Hawa kelmarin sempat menyingkap sebentar ucapan dari beberapa pemimpin wanita di negeri ini, buat insan bergelar ibu.

Timbalan Menteri Kesihatan Malaysia merangkap Ketua Puteri Umno Malaysia, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin


"Selamat menyambut hari ibu kepada seluruh warga Malaysia. Ibu ungkapan kata penuh azimat, kata keramat penuh karamah. Sebagai insan bernama manusia peranan ibu tidak dapat diungkapkan dengan kata pujian. Hanya doa mengiringi perjalanan hidup moga Allah SWT melimpahkan rahmat yang tiada tandingannya amin. Saya selaku peneraju Puteri Umno Malaysia, mendoakan agar insan bergelar ibu sentiasa berada dalam peliharaan Allah SWT. Insan istimewa yang menggalas tanggungjawab penuh mencabar ini perlu dijaga dan diletakkan ditempat yang sewajarnya.
Telah dinyatakan ‘syurga itu ditelapak kaki ibu’, sebagai insan yang bergelar anak kita perlu menunaikan tanggungjawab menjaga dan memelihara ibu kita sebagaimana ibu-ibu kita menjaga kita sedari kecil hingga dewasa. Dalam zaman penuh cabaran dan persaingan ini seharusnya diseimbangkan antara tuntutan mengejar kemajuan diri dan tanggungjawab sebagai anak terutama terhadap kedua-dua ibu bapa. Jangan jadikan alasan kesibukan kerja membuatkan kita tidak mempunyai masa menjaga ibu bapa. Sebagai seorang wanita saya memahami perasaan hati nurani seorang ibu. Pesanan dan nasihat ini bukan bermaksud ingin mengajar atau lebih mengetahui tetapi sebagai peringatan dan tanggungjawab supaya kita tidak tergelincir dalam melayari kehidupan hingga mengabaikan ibu. Justeru, saya menyeru terutama kepada ahli-ahli puteri agar menjadikan penjagaan dan penghormatan kepada ibu sebagai satu perjuangan utama dalam membentuk keperibadian diri kerana satu hari nanti kita juga akan menjadi ibu kepada anak-anak kita. Saya percaya melalui perjuangan ini kita akan dapat membentuk sebuah masyarakat yang bukan hanya penyayang, perihatin, bertanggungjawab terhadap keluarga malah dapat membina masyarakat yang toleran terhadap semua kaum keranan perasaan kasih sayang telah terbina dan sebati dalam kehidupan seharian kita. Moga kasih sayang ini bukan hanya kita jelmakan bila tiba sambutan hari ibu tetapi dilaksanakan selagi nyawa dikandung badan.Salam kasih sayang kepada seluruh insan bergelar ibu."

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna, merangkap ADUN Klias, Datuk Hajah Azizah Mohd Dun.

"Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Hari Ibu kepada semua ibu-ibu yang hadir pada hari ini. Sebagai ibu, peranan ibu kini semakin mencabar kerana tugas seorang ibu bukan lagi sebagai surirumah yang hanya mengurus rumahtangga, akan tetapi ramai kaum ibu dan kaum wanita amnya, kini sudah berjawatan tinggi dan melibatkan diri dalam bidang politik, perniagaan dan sebagainya. Namun kesibukan menjalankan tugas pejabat atau perniagaan tidak harus menjadi penghalang kepada kaum ibu untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai isteri kepada suami dan ibu kepada anak-anak. Tidak dinafikan bahawa arus permodenan telah membawa impak ketara terhadap struktur sosial dan institusi keluarga masa kini. Justeru itu, kaum ibu perlu sentiasa bersedia untuk menghadapi segala bentuk cabaran bagi membolehkan mereka memberi sumbangan bakti dan berupaya memainkan peranan sebagai ibu untuk melahirkan sebuah keluarga seperti mana yang diharapkan oleh sesebuah keluarga agar keluarga kita bebas dari gejala yang tidak sihat khususnya masalah dadah."

Timbalan Menteri Pembangunan Perindustrian, Datuk Jainab Ahmad Ayib

"Sempena menyambut hari ibu, saya mengambil kesempatan ini ingin mengucapkan Selamat Hari Ibu kepada semua ibu-ibu walau dimana berada. Semoga sejahtera dan terus maju mengorak langkah demi mengubah corak kehidupan golongan wanita di negeri ini. Kepada apa juga pencapaian yang dicapai golongan ibu, sekalung tahniah saya ucapkan dan teruskan usaha anda. Selamat Hari Ibu."



Ahli Dewan Undangan Negeri Tanjung Batu,
Datuk Hajah Hamisa Samat


"Masyarakat perlu mengenang jasa dan pengorbanan seorang ibu setiap masa meksipun bukan dalam bulan perayaan 'Hari Ibu'. Dengan cara ini, ia lebih berkesan serta bermakna untuk kaum keluarga sentiasa mengutamakan kasih sayang sepanjang hayat mereka. Salah satu cara, kaum keluarga boleh menghadiahkan 'Pemeriksaan Kesihatan' kepada ibu mereka dalam usia warga emas agar tahap kesihatan sentiasa terpelihara sepanjang masa. Selain itu, kaum keluarga juga perlu mengelak menghantar ibu mereka di pusat penjagaan orang tua di sekitar kawasan mereka. langkah itu menunjukkan menguris perasaan ibu mereka berbanding jasa serta pengorbanan dalam mendidik anak-anak sehingga berjaya dalam bidang masing-masing."

No comments:

Post a Comment