Friday, March 6, 2009

Kebersamaan Penuh Nostalgik,



Persimpangan hidup baru selepas tragedi simpang Bandau
==========================================

SETELAH genap empat minggu berehat, hari ini Sekadar Pandangan hadir buat kali terakhir untuk mengucapkan salam perpisahan dan menitipkan sekalung penghargaan kepada pembaca budiman.

Kolum ini melabuhkan tirainya di sini pada hari ini, sebagai noktah penutup di penghujung catatan penuh nostalgik yang pastinya abadi dalam kenangan sampai bila-bila.

Secara peribadi, saya menjunjung kemaafan jika ada di antara catatan yang menyinggung perasaan. Tidak terlintas pun untuk menyakiti, jauh sekali mengaibkan sesiapa. Tidak terfikir juga untuk menafikan realiti atau menidakkan sebarang fakta.

Semuanya hanyalah sekadar pandangan (sebagaimana nama kolum ini) yang tertulis dari pengamatan di sepanjang perjalanan melewati jajaran sebuah kehidupan.

Abadi sungguh kebersamaan saya bersama Utusan Borneo sebermula melangkah masuk ke pejabat ini kira-kira 15 bulan yang lalu (pada tanggal 1 Disember 2007).

Bersama rakan-rakan sepejabat dan sahabat wartawan di peringkat daerah, kami bersatu tenaga, mengerah segala kudrat yang ada membangunkan akhbar ini sehinggalah ia berdiri seteguh pada hari ini, menjadi kebanggaan bersama setiap warganya.

Kepelbagaian kelainan yang ditampilkan menjadikan Utusan Borneo pilihan utama. Nota Seorang Wartawan sering dinantikan pembaca, Citra Hawa memenuhi keperluan wanita, Pancing pula mengena kailnya pada ramai peminat dan Hiburan Sabah (dengan selitan Bisik-Bisik) sungguh menghiburkan.

Sepanjang kebersamaan di sini, banyak kenangan indah dan manis, suka dan duka. Setiap lembah yang dijejaki dan setiap insan yang diakrabi, ada saja kenangan terpintal abadi.

Kepada para sahabat dan kenalan, saya mohon kemaafan jika ada kata mengusik rasa, ada bicara terkasar bahasa. Juga mohon dihalalkan segala makan dan minum – biarpun secangkir kopi, segelas teh tarik, sepotong roti atau sebungkus nasi lemak.

Mulai minggu depan, saya tidak lagi bersama akhbar ini. Dengan rasa sendu, sedih dan sayu, saya mengambil keputusan untuk melangkah keluar meninggalkan tempat ini untuk memulakan penghidupan baru yang masih samar penghujungnya.

Keputusan ini saya fikirkan yang terbaik selepas tragedi kemalangan yang saya alami berdekatan persimpangan jalan Kg Bandau, Membakut pada tengah malam 8 Februari lepas.

Tragedi itu membawa saya terlantar di Hospital Beaufort selama 10 hari, kemudian diberikan cuti selama dua minggu bertemankan tongkat dan kerusi beroda. Hari ini pun, tongkat dan kerusi roda ini masih menjadi teman setia saya untuk bergerak sementara menghabiskan tempoh percutian sebelum sampai ke tarikh akhir perkhidmatan minggu depan.

DINGIN malam mulai mengigit tulang ketika saya memandu pulang pada malam itu. Selesai bertugas kira-kira jam 9.20 malam, saya meninggalkan bandar raya Kota Kinabalu menuju ke kampung kelahiran di Membakut. Tidak tersangka pemanduan malam itu hampir menjadi perjalanan terakhir sebuah kehidupan. Namun, syukur kepada Tuhan Yang Maha Berkuasa kerana terus memberikan perlindungan yang membolehkan saya meneruskan perjalanan hidup penuh cabaran ini.

Selepas melewati bulatan menuju simpang Kg Bandau, cahaya lampu tinggi dari sebuah kenderaan tiba-tiba datang mengejut dari arah hadapan. Dalam sekelip mata, tanpa sempat mengelak, berdentum kuat pertembungan dua kenderaan. Saya tidak sedar. Dan tidak tahu apa-apa selepas itu lagi.

Sedar-sedar saja, saya terbaring di unit kecemasan Hospital Beaufort pada subuh esoknya. Selepas dipindahkan ke wad biasa pada paginya, berduyun-duyun ahli keluarga, sahabat handai dan kenalan menziarah sekujur tubuh yang terbaring lesu. Terdetik di hati kecil saya waktu itu, betapa tragedi tersebut begitu menyusahkan banyak orang yang terpaksa meninggalkan tugas dan kerja mereka tergesa-gesa!

Secara peribadi saya sangat menghargai kunjungan mereka. Bukti betapa abadi kasih dan prihatin mereka. Saya menghulurkan tangan bersalam pada setiap insan yang datang. Mereka membalasnya dengan kata-kata semangat tanpa dapat menyekat linangan air mata. Bapa yang saya kenal cukup kuat semangatnya dahulu pun, juga tidak mampu menahan air matanya.

Tiga hari pertama, saya tidak dapat menghitung pengunjung yang datang silih berganti.

Seingat saya, Datin Seri Raya Erom antara terawal hadir bersama pegawai-pegawainya, membawa salam dari Datuk Seri Salleh Said yang kebetulan berada di luar kawasan pada waktu itu, kemudian Ahli Parlimen Sipitang, Datuk Sapawi Ahmad dan ADUN Membakut, Datuk Hj Ariffin Arif. Sejuta penghargaan buat mereka.

Demikian juga ucapan buat pegawai-pegawai dari pejabat Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Lajim Ukin dan pegawai dari pejabat Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal-Ehwal Pengguna, Datuk Hajah Azizah Mohd Dun.

Terimakasih juga kepada Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Sabah, Zubaidi Abas yang hadir bersama pegawainya; Pastor Kozel Malim dari Gereja SDA Likas bersama rombongan serta Presiden Kota Kinabalu Journalist Association (KKJA), Wong Bak Kiong bersama rakan-rakannya, termasuk Sandra Sokial yang mewakili Persatuan Wartawan Sabah (SJA).

Ungkapan sama dihulurkan kepada sahabat saya, Liaw Sin Kuang yang singgah menjenguk sepulangnya dari lawatan di Kuala Penyu, juga semua yang tidak sempat disebutkan satu persatu.

Teristimewa diucapkan setinggi-tinggi penghargaan buat perunding editorial syarikat, Eddy Lok dan bos Shamsul Ali Maran bersama rakan-rakan sepejabat di Utusan Borneo yang hadir membawa keceriaan menziarahi pada tengah hari dan petang Ahad, genap seminggu selepas saya terlantar di hospital itu.

Terlalu sukar untuk mengungkapkan kata terima kasih, betapa kehadiran mereka sangat berharga. Di waktu sukar dan kepayahan sedemikianlah kita mengenali erti persahabatan sejati. Jarak dan kejauhan tidak menjadi penghalang.

Kepada peminat dan pembaca setia UB, teruskan kebersamaan anda dengan akhbar ini – sesuatu yang baru dan pastinya menjanjikan satu kepuasan.

Secara peribadi, pastinya saya akan merindui dunia ini yang telah sebati berakar dalam jiwa sebagai satu kerjaya. Namun, perjalanan hidup kita sememangnya tiada skrip yang tertulis. Lagu “Berita Kepada Kawan” nyanyian Ebiet G Ade yang menjadi “caller ring-tone” telefon bimbit saya sebelum ini menceritakan segalanya.

Lantaran kerinduan itu, saya hadiahkan senikata lagu “Ruang Rindu” ini kepada setiap pembaca budiman sebagai penutup catatan.

Di daun yang ikut mengalir lembut
Terbawa sungai ke ujung mata
Dan aku mulai takut terbawa cinta
Menghirup rindu yang sesakkan dada
Jalanku hampa dan kusentuh dia
Terasa hangat oh di dalam hati
Kupegang erat dan kuhalangi waktu
Tak urung jua kulihatnya pergi
Tak pernah kuragu dan slalu kuingat
Kerlingan matamu dan sentuhan hangat
Ku saat itu takut mencari makna
Tumbuhkan rasa yang sesakkan dada
Kau datang dan pergi oh begitu saja
Semua kutrima apa adanya
Mata terpejam dan hati menggumam
Di ruang rindu kita bertemu

1 comment:

  1. kakitangan hospital yang merawat awak tak diucapkan terima kasih ke? hahahha... manusia... manusia...

    ReplyDelete