Sunday, May 24, 2009

Nostalgiknya guru ibarat lilin

Catatan DWUW 17Mei 2009
Hari Ibu sudah berlalu, kemeriahan dan nostalgiknya sambutan itu amat terasa. Namun, tidak setakat di situ saja, setiap hari juga hari untuk kita mengingati ibu tercinta. Jika minggu lalu, Citra Hawa menyiarkan ucapan dan kata-kata beberapa pemimpin mengenai insan bernama Ibu, kali ini ruangan ini menyingkap seketika suasana dan cerita-cerita menarik mengenai seorang guru sempena Hari Guru pada 16 Mei lepas.

Untuk itu, ingin saya berkongsi sebuah puisi nukilan seorang penulis blog yang saya temui ketika bersiar-siar ke laman blog seorang guru (Puteriezza.com).

Profesi ini…
Tetaplah terus menjadi inspirasi,
digemari dan diminati
meski di hadapan ternanti…
aneka cabaran yang menguji,
barangkali juga bertali-tali
menuntut ketulusan hati
agar segalanya nanti
berharga di sisi Ilahi
Semoga DIA akan membalasi… dengan ganjaran yang tinggi.

Profesi ini…
tetaplah terus disanjung dan dihargai
kerana kita mengerti
bahawa jasa, pengorbanan dan bakti
yang telah mereka taburi
banyaknya tiada terperi
bukan ringgit warisan budi
membentuk warisan generasi
agar segak berdiri… dihiasi sahsiah dan jati diri.

Profesi ini…
tetaplah terus disayangi, dicintai dan dikasihi
kerana kita sebenarnya mengakui
merekalah yang banyak memberi
sedangkan sedikit dibalasi
mereka juga sering dilibati
jika krisis moral generasi
semakin menjadi-jadi
sedangkan senario terkini
yang disebut globalisasi
banyak mencorak mempengaruhi
menyumbang nilai-nilai tidak murni
justeru kita juga harus fahami
dan bersama mengawasi
kerana tugas ini… tanggungjawab setiap diri.

Profesi ini…
Tetaplah terus dikagumi dan dihormati
kerana kita menyedari
hakikatnya mereka adalah nadi
di dalam tubuh pertiwi
menjana bangsa bermula dari umbi
kerana…
bukankan sebelum mencecahkan kaki ke tangga universiti
atau berpenat meraih rezeki
awalnya perlu dahulu mengenal A, B, C
atau alif, ba, ta, - huruf-huruf jawi
perlu pandai mengira, mencampur, darab, tolak dan bahagi
di samping tidak melupai
didikan berakhlak terpuji
membentuk peribadi berbudi pekerti
kerana…
walaupun tamadun melangit tinggi
andai akhlak menyapu bumi
sedikit pun tidak beerti

Profesi ini…
tetaplah terus dibanggai dan disyukuri
hingga tersemai keinsafan di dalam hati
bahawa mereka yang berada di bidang ini
sungguh beruntung sekali
ilmu dan tunjuk ajar diberi
semoga menjadi jariah selepas mati
bukankah di sana nanti
segala-galanya tidak berguna lagi
selain iman dan amal bakti……..

Sesungguhnya bukan sebarang jasa…
Seorang Insan bergelar GURU

================================
Mengimbas kenangan bersama Cikgu Khohar

Seperti orang lain, saya juga punya seribu cerita mengenai seorang guru. Pengalaman di bangku sekolah adalah salah satu pengalaman yang sukar untuk dilupakan.

Meskipun telah ditinggalkan betahun-tahun ke bekalang, namun tiap peristiwa yang berlaku pasti ada pengalaman yang begitu payah untuk dilupakan. Mungkin bersama teman-teman, mahupun bersama guru-guru.

Ketika di sekolah menengah, saya mempunyai seorang guru yang amat saya gemari dan senangi kerana dia amat baik dan memahami keperluan pelajar.

Sikap terbuka dan memberi kebebasan kepada pelajar untuk membuat keputusan antara sikap yang amat disenangi oleh para pelajar. Namanya Abd Khohar Topandi, dan saya hanya mesra memanggilnya Cikgu Khohar. Sudah lama khabarnya tidak didengari.

Selain menjadi guru kelas saya sejak berada di tingkatan empat, Cikgu Khohar juga guru mata pelajaran prinsip akaun. Cikgu Khohar bolehlah kami anggap sebagai seorang guru pakar dalam subjek itu memandangkan silibus dan setiap hukum akaun dapat diingat tanpa melihat buku.

Saya amat rapat dengan beliau memandangkan saya memegang jawatan sebagai Ketua Kelas.

Oleh itu, setiap pagi sebelum lonceng berbunyi dan sebelum balik, sudah menjadi rutin, saya akan berjumpa dengan Cikgu Khohar untuk menyerahkan laporan pelajar dan apa-apa tugasan yang perlu dilakukan.

Walaupun saya sudah tamat belajar, saya masih lagi kenal rapat dengan beliau sebagai pelajar. Bergosip dan bercerita mengenai rakan pelajar lain antara topik yang menjadi tajuk perbualan kami.

Saya masih ingat lagi satu kejadian Cikgu Khohar terasa hati dengan kata-kata dan sikap beberapa pelajar di dalam kelas saya. Ketika itu, beliau yang cukup kaya dengan senyuman terus saja keluar kelas dan tidak lagi masuk ke kelas sehingga keesokan harinya. Saya tidak ingat punca beliau terasa hati tapi kejadian itu membuat kami (satu kelas) lebih mengenalinya.

Kami sekelas amat risau dan rasa bersalah kerana mungkin sudah mengguris perasaan Cikgu Khohar. Saya dan seorang pelajar lagi pula dipertanggungjawabkan untuk memujuk beliau masuk ke kelas.

Tapi, apabila bertemu Cikgu Khohar di bilik guru, terus saja seorang cikgu menjerit "Khohar, datang sudah anak kau cari!" jerit cikgu itu. (sudah biasa berjumpa dengannya sehingga digelar anak dikalangan guru-guru).

Cikgu Khohar datang dengan senyumannya meleret tapi matanya seperti berkaca. Tidak saya bertanya kenapa dan mengapa dia merajuk. Terus saja saya mengingatkan beliau masa sudah tiba untuk masuk ke kelas.

Sejak itu, saya dan rakan-rakan sudah bijak 'mengatur langkah' ketika berhadapan dengan beliau. Sehingga ke hari ini saya sendiri tidak mengetahui apa sebabnya tapi bersyukur dia masih mengingati saya sehingga ke hari ini.

Namun, hanya saya saja yang sudah jarang menjenguk Cikgu Khohar setiap kali balik ke kampung. Jasamu cikgu tidak mungkin saya lupakan.

Ilmu dan cerita-cerita hidup sudah banyak kau curahkan walaupun tidak kau sedari. Saya dari kejauhan ini mengucapkan selamat hari guru kepada Cikgu Khohar dan isteri (Cikgu Norlela) serta semua guru di SMK Merotai Besar, Tawau.

Namun, dalam ingatan mengingati pengorbanan yang sudah banyak menabur jasa kepada pelajarnya, satu fenomena sudah melanda pelajar-pelajar hari ini.

Rasionalnya bermacam-macam. Mungkin juga salah satunya disebabkan pesatnya pengaruh globalisasi dan tuntutan lahiriah yang kian mencabar.

Apa yang kita sangsikan hari ini amat berbeza. Pelajar-pelajar kini sudah jauh lebih 'advance' dan berani melakukan sesuatu. Mungkin ada baiknya sikap berani dan 'advance' itu tapi golongan itu tidak begitu bijak menggunakan sebaliknya menyalahgunakan ke arah yang salah.

Pelajar atau murid-murid kini sudah tidak takut berhadapan dengan guru disiplin, sudah tidak takut dan segan silu berlaku 'kurang ajar' kepada guru, sudah tidak takut memberitahu ibu bapa sekiranya didenda atau dipukul di sekolah.

Satu pertanyaan yang tidak terjawab...masih relevankah tugas guru itu sehingga masih wajar diibadatkan golongan ini seumpama lilin yang terbakar?

Dahulu, saya pernah membaca sebuah tulisan mengenai pengorbanan seorang guru dan betapa besarnya jasa seorang guru. Saya sudah tidak ingat akan intipati tulisan itu tapi sesuatu fakta atau kata-kata yang masih segar dalam ingatan saya, penulis itu menulis "Guru tidak boleh dan tidak tepat diibaratkan seperti lilin". Tidak tahu benar atau tidak terpulang kepada anda sebagai pembaca untuk menilai. Tepuklah dada sendiri.

1 comment:

  1. assalamualaikum!
    Apa khabar my? Oh! cikgu merajuk pun my citer ye?
    Ye! lama x jumpa kan?
    ape pun lau free email cikgu kohar96@yahoo.com

    ReplyDelete