Rasanya bukan satu rahsia lagi. Kepada yang terdekat pasti sudah lama mengetahuinya. Esok adalah hari terakhir aku di UB. Selama hampir 2 tahun berada di sini satu pengalaman dan kehidupan yang amat mengembirakan.
Sejak dua bulan lepas aku sudah mengutarakan keputusanku untuk berhenti daripada UB kepada atasan namun tidak diterima. Dan untuk percubaan seterusnya, notis sebulan sekali lagi aku hantar kepada Bos. Harap-harap diterima. Syukur ia diterima.
Bukan menyalah sebarang pihak, tapi pemergianku dari UB bukanlah atas kerelaan namun kerana terpaksa. Dalam keterpaksaan untuk melakukan sesuatu pasti berakar umbikan dari sesuatu yang amat sukar diterima.
Pemergiaan ini aku anggap satu sementara untuk menunaikan tanggungjawab yang penting untuk masa depan aku sendiri dan kebahagian orang lain.
Satu ketika dahulu, aku pernah menyuarakan rahsia hati kepada seseorang mengenai laluan yang mana hendak dituju antara rasa sayang dan keterpaksaan.
Dan orang itu yang sememangnya seorang yang aku sanjungi dan telah banyak menolongku sejak menjejakkan kaki ke UB memberikan semangat dan mencadangkan agar aku memilih sayang itu.
Katanya "Pilih kata hati nurani. Nurani kita biasanya jernih. Jangan ada keterpaksaan dalam membuat pilihan. Rasa sayang yang tulus mampu memberi jalan keluar dengan sendirinya. Bersabarlah kerana sabar itu ada hikmatnya."
Untuk itu, aku masih bertahan sehingga ke hari ini. Namun tidak semua keputusan itu betul. Sebaliknya apa yang perit dan sukar itu adalah yang tepat.
Inilah yang meletakkan aku dalam dilema antara sayang untuk meninggalkan UB dan rasa terpaksa kerana sememangnya ia harus dilakukan.
Ketika kawan-kawan membuat jamuan ringan sempena perpisahan ini, saya cukup tersentuh dan terharu. Inilah yang buat saya berat hati dan amat terasa sayang.
Hidup, jiwa, dan cinta saya sudah ada di sini. Amat sukar untuk dilepaskan. Amat menyukarkan saya untuk memberitahu akan pemergiaan ini kepada seseorang teman, abang dan tidak tahu lagi menggambarkan apa... (kerana dia seorang saja yang tidak aku maklumkan....)
Bukanlah sengaja untuk tidak memberitahunya tapi saya pasti tidak terlafaz kata-kata itu di hadapannya. Ketika itu biarlah saya maklum sekadar dalam emel nanti selepas aku melangkah keluar dari UB.
Tapi, tidak sangka jamuan ringan sempena perpisahan itu membuat aku amat rasa bersalah dan sudah terperangkap dalam diri sendiri, apatah lagi melihat wajahnya yang seperti tergamam melihat saya yang dirai.
Hanya yang terunggap "Maafkan my..." Harap sangat dia memahami akan situasi. Seperti makanan yang ditelan amat pahit dan sukar untuk dimamah. Hanya menahan sebak.
"Sebenarnya abang rasa kehilangan bila mendengar my akan pergi. Abang tahu esok pasti tiba. My pasti bertambah dewasa menghadapi pancaroba. Untukmu, abang berdoa".Inilah sms yang beliau kirimkan kepada saya selepas keluar dari pejabat malam itu.
Saya juga terus mengambil keputusan untuk balik kerana sudah tidak tertahan menahan sebak. Sekali lagi dalam perjalanan ke rumah setiap langkah diiringi dengan kenangan-kenangan indah dalam tempoh dua tahun ini.
Kepadanya, terima kasih kerana menjagaku seperti seorang adik, terima kasih kerana memberiku masa untuk menjadi tabah, terima kasih atas doa-doa itu. Terima kasih juga atas kad ucapan itu, pasti selepas ini saya akan menadi pengembara dalam perjalanan seribu batu.
Kepada yang lain, kawan-kawan dan semua editoral UB, terima kasih atas segalanya terima kasih atas kenangan indah mahupun pahit itu. Semoga UB dihindari dari orang-orang yang mementingkan diri sendiri.
Kepada seseorang yang pastinya sedang mengikuti perkembanganku di hujung sana, terima kasih kerana bersamaku sehingga ke hari ini, terima kasih atas perhatian dan pengorbanan itu, terima kasih.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment