Oleh Lichong Angkui
DALAM samar lampu ruang dewan hotel yang dihias indah, beberapa wanita di meja sebelah tempat duduk kami kelihatan mengesat air mata ketika Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Maznah Abd Ghani, menyanyikan sebuah lagu sentimental yang ditujukannya khas kepada seorang wanita yang telah tiada dalam hidupnya.
Saya terlupa mencatatkan nama lagu itu, tetapi liriknya sungguh puitis dan mengesankan sehinggakan seorang wanita separuh abad yang duduk semeja dengan kami terpaku tunduk sepanjang lagu itu dinyanyikan.
Hadirin lain yang mulanya tidak kering gusi dengan telatah Abu Bakar Ellah sebagai pengacara segmen hiburan pada malam itu, juga kelihatan terdiam, seolah-olah turut menangisi pemergian wanita yang didodoikan oleh Maznah dengan lagu itu. -- iaitu pembantu rumahnya -- seorang warga Indonesia, yang mengunci rahsia hidupnya sehingga dia menghembuskan nafas terakhir.
Demikianlah penghargaan dan sanjungan seorang wanita kepada wanita lain, yang dinyanyikannya secara spontan pada Malam Penghargaan Wanita dan Media 2008, di Hotel Pan Pacific, Kota Kinabalu, malam Jumaat lalu.
Sebelum Maznah menyanyi, dia menceritakan sedikit kisah di sebalik pemilihan lagu itu. Katanya, pembantu rumahnya seorang yang cukup baik sepanjang bekerja beberapa tahun dengannya, menjaga dan membesarkan anak-anak, sehinggakan dia menjadi seperti sebahagian daripada keluarganya sudah.
Sepanjang bekerja dengannya, pembantu rumah itu tidak menunjukkan ada derita sengsara, pilu dan sendu di hatinya. Dia bekerja cukup dedikasi, penuh mesra dan seperti tidak ada masalah di sepanjang jajaran kehidupannya. Begitu bijak dia merahsiakan kisah peribadi, tersembunyi di sebalik senyuman yang dihadiahkan kepada majikannya sekeluarga setiap hari, biarpun sehingga pada saat-saat akhir kematiannya.
Hanya setelah dia meninggal dunia dan Maznah mengurus pengkebumiannya, barulah terbongkar rahsia perjalanan hidup pembantu rumah itu yang penuh onak dan duri. Rupanya, dia merantau ke Sabah mencari penghidupan baru setelah ditinggalkan suami. Dia juga mempunyai seorang anak yang masih kecil (yang pastinya menagih kasih dan pelukan seorang ibu) yang terpaksa ditinggalkannya di kampung halaman.
Terbongkar juga rahsia betapa dalam mengharungi kehidupan di negeri orang, si pembantu rumah tidak pernah melupai anaknya di tanah seberang. Dia menghantar sebahagian gajinya untuk belanja susu dan makan anaknya itu setiap bulan tanpa putus-putus.
Kini, setelah pemergian si ibu, anaknya telah menjadi yatim piatu. Maka pada setiap kali kedatangan Aidilfitri, Maznah tidak lupa menghulur sumbangan sebagai tanda kasih yang abadi kepada si anak pembantu rumahnya. Rupanya, dalam diam dan wajah pembantu rumah yang cukup tenang itu, tersimpan rahsia kehidupan penuh tragis yang tidak pernah dihebahkannya lantaran itu mungkin dianggapnya sebagai sesuatu yang bersifat peribadi.
Mendengar kisah itu, ramai yang hadir pada malam itu begitu tersentuh dan terusik hati mereka. Dari meja kami yang terletak pada barisan belakang, menghadapi pintu utama, dapat dilihat dengan jelas beberapa orang berulang kali mengesat butiran air mata menitis membasahi pipi.
Saya tidak melihat dari dekat wajah Menteri Perkhidmatan Masyarakat dan Hal-Ehwal Pengguna, Datuk Azizah Mohd Dun, sebagai tetamu kehormat pada malam itu. Tetapi saya yakin sungguh bahawa dia juga, sebagai seorang ibu yang penyayang dan sebagai menteri bertanggungjawab mengenai hal-ehwal wanita, sudah pastinya tersentuh dengan kisah itu.
Saya katakan demikian kerana dalam ucapannya di awal majlis, Azizah turut menceritakan mengenai perjuangan serta usaha membela nasib golongan wanita, termasuk di luar bandar yang dilakukan kerajaan menerusi Majlis Penasihat Wanita Sabah (MPWS) yang ditubuhkan sejak 20 tahun lalu.
Di luar teks ucapannya, Azizah turut meminta supaya kajian dilakukan kenapa bilangan ibu tunggal begitu tinggi di Sabah – dan kajian hendaklah merangkumi semua aspek, termasuk mengenal pasti puncanya dan mencari jalan cara menangani fenomena itu serta membantu golongan berkenaan.
Secara umumnya, kata Azizah, dalam konteks pembangunan wanita di negeri ini, sebenarnya masih memerlukan usaha yang gigih. Ini kerana tahap pencapaian yang ada sekarang ini belum memadai kerana masih lagi terdapat wanita yang masih memerlukan bantuan.
Beliau menjelaskan bahawa di bawah MPWS, terdapat tujuh jawatankuasa kerja yang bertanggungjawab terhadap pembangunan kesihatan, pendidikan, undang-undang, ekonomi, sosial, pembangunan gender, dan media.
Menurut Azizah, banyak permasalahan berkaitan wanita perlu ditangani, terutamanya mereka yang tinggal di pedalaman atau kampung-kampung terpencil di mana peratusan wanita yang bersekolah masih rendah berbanding lelaki. Kesedaran terhadap penjagaan kesihatan di kalangan wanita di luar bandar, terutamanya ibu mengandung, juga masih di tahap yang membimbangkan.
Mengambil sempena nama majlis itu - Malam Penghargaan Wanita dan Media 2008, maka Azizah merayu setiap pengamal media agar membantu MPWS mencapai objektifnya dengan lebih berkesan melalui berita-berita yang disiarkan.
"Saya percaya kemahiran pemberita mendapatkan berita-berita baru akan menjadi maklumat kepada MPWS untuk bertindak membantu golongan wanita yang kurang berkemampuan dari pelbagai aspek," katanya.
Di akhir ucapannya, beliau mengungkapkan pantun lama dan baru yang berbunyi:-
Tuai padi antara masak,
Esok jangan layu-layuan,
Intai kami antara nampak,
Esok jangan rindu-rinduan.
Bunga mawar harum baunya,
Menjadi hiasan si anak dara,
Serinya hidup ada wanita,
Sepinya dunia tanpa media.
Apapun, saya menghargai sanjungan dan pujian yang diberikan oleh Azizah kepada pengamal media di Sabah yang disifatkannya sebagai lebih liberal dan bersifat terbuka – kedua-dua pihak pemimpin kerajaan dan pembangkang mendapat tempat.
Baginya, keterbukaan ini dilihat sebagai satu perkembangan yang baik dalam industri komunikasi massa.
Begitupun, beliau mengingatkan juga pengamal media supaya berhati-hati dan waspada kerana berkemungkinan ada pihak tertentu yang mempunyai hasrat negatif mengambil kesempatan daripada sikap keterbukaan itu.
Quote:
Sepanjang bekerja dengannya, pembantu rumah itu tidak menunjukkan ada derita sengsara, pilu dan sendu di hatinya. Dia bekerja cukup dedikasi, penuh mesra dan seperti tidak ada masalah di sepanjang jajaran kehidupannya. Begitu bijak dia merahsiakan kisah peribadi, tersembunyi di sebalik senyuman yang dihadiahkan kepada majikannya sekeluarga setiap hari, biarpun sehingga pada saat-saat akhir kematiannya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment