Sunday, January 4, 2009

Penduduk dipindahkan, banjir di Inanam selesai

KOTA KINABALU: Masalah banjir kilat yang sering berlaku di Pekan Inanam dijangka selesai apabila 16 buah penempatan penduduk di Kampung Inanam Laut
yang menghalang projek pembesaran parit di kawasan itu dipindahkan.
Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian, Datuk Hajah Jainab Ahmad, berkata penempatan penduduk sekitar terutama 16 buah keluarga ini menghalang projek pembesaran parit di Inanam sehingga menyebabkan projek itu tergendala malah mengakibatkan laluan air parit tidak dapat mengalir dengan lancar
Sehubungan itu, pihanya bersama Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), Jabatan Tanah dan Ukur, Perancang Bandar akan mengadakan penstukturan semula penempatan kawasan Inanam dan sekitar dengan lebih terancang.
"Penstukturan penempatan berkenaan adalah penting sebagai persediaan untuk kepentingan kawasan Inanam yang dilihat semakin berkembang. Kita akan memindahkan penempatan 16 buah keluarga itu ke tapak penempatan baru berkeluasan 10 ekar yang bakal ditempati 16 keluarga berkenaan, lengkap dengan kemudahan asas termasuk jalan raya, bekalan elektrik, bekalan air, rumah sampah dan banyak lagi," katanya selepas melawat tapak penempatan baru di sini kelmarin.
Tambah Jainab yang juga ADUN Karambunai, apabila projek pembesaran parit berhampiran Terminal Bas Ekspres Utara itu akan menyelesaikan masalah banjir termasuk di kawasan komersil di Inanam Jaya, Kelombong dan sekitarnya.
Menurut Jainab, pihak DBKK bersama Jabatan Tanah dan Ukur akan membahagikan kepada beberapa lot untuk keperluan penempatan berkenaan.
"Sebanyak lapan rumah akan ditempatkan di kawasan tapak tanah dan lapan atau 10 buah rumah bertiang didirikan di tanah atas air, yang bersebelahan dengan Kampung Kalansanan.
"Kita juga meminta kerjasama DBKK dan Unit Perancangan Bandar untuk menimbus tanah dan berbincang bagi langkah menyediakan infrastuktur seperti lampu, jalan raya, bekalan ari, rumah sampah dan kemudahan lain," katanya.
Jelas beliau, projek penempatan yang akan dilaksanakan setelah mendapat kelulusan permohonan kos oleh kerajaan itu, juga turut memfokuskan usaha perancangan beberapa kampung lain di daerah Karambunai dengan melibatkan pihak Suruhanjaya Penempatan Nasional Berhad (SPNB).
"Kita sudah berbincang dengan SPNB untuk mengadakan pembangunan yang terancang. Apa yang penting adalah menerusi SPNB, orang kampung juga boleh sewa/beli rumah kos rendah ini dengan harga RM50 ke RM150 setiap bulan.
"Oleh itu, ini merupakan satu peluang terbaik kepada penduduk kampung untuk memiliki rumah kos rendah," katanya sambil merancang akan mengadakan pemantauan di kampung-kampung bagi mengenalpasti penempatan secara terancang untuk kebersihan, keselamatan dan dan keindahan kampung.
"Apa yang penting, saya berharap agar masyarakat dapat mengubah minda mereka untuk menerima perubahan dan menjaga alam sekitar serta kemudahan yang diberikan ke arah pencapaian masyarakat," katanya.
Dalam pada itu, pihaknya juga akan mengadakan pertandingan keindahan kampung bagi memastikan kawasan khususnya di Karambunai sentiasa berada dalam keharmonian, berkualiti, indah, selamat dan bersih.

No comments:

Post a Comment