Sunday, January 4, 2009

Penggunaan bahasa kebangsaan punca pudarnya bahasa sukuan

KOTA KINABALU: Penggunaan bahasa kebangsaan dalam sistem pendidikan negara, sebagai bahasa rasmi dalam urusan di jabatan-jabatan kerajaan atau kegiatan rasmi lain merupakan faktor utama yang mempengaruhi kecenderungan masyarakat kian melupakan bahasa sukuan.
Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) cawangan Sabah, Zubaidi Abas, berkata proses pengembangan bahasa kebangsaan
bertujuan untuk membina peradaban bangsa, namun tidak wajar sekiranya bahasa sukuan dibiarkan lenyap begitu saja.
"Pengembangan bahasa kebangsaan perlu memanfaatkan khazanah yang terdapat dalam bahasa sukuan yang menjadi tunjang dan untuk memperkayakan lagi bahasa kebangsaan itu.
"Kita mengembangkan bahasa kebangsaan menjadi bahasa moden, tanpa mengenepikan bahasa sukuan yang merupakan kekayaan budaya bangsa yang perlu dipertahankan untuk mengembangkan bahasa kebangsaan," katanya ketika berucap dalam Majlis Pelancaran Majalah Etnik di Dewan DBP, di sini baru-baru ini.
Katanya, meskipun bahasa sukuan masih lagi digunakan sebagai medium komunikasi tidak rasmi di rumah, namun masyarakat penuturnya kini kian melupakannya dalam kehidupan harian.
"Tanpa disedari, sudah tidak ramai yang dapat menguasai bahasa sukuan malah sudah beralih dengan arus gaya hidup moden yang mengamalkan tradisi yang tidak relevan," katanya.
Tambah Zubaidi, bahasa sukuan merupakan aset budaya bangsa yang tidak ternilai dan mempunyai kepentingan budaya yang harus dipertahan.
"Hilangnya bahasa sukuan tanda hilangnya budaya bangsa kita," katanya,
Sehubungan itu, katanya usaha melestarikan bahasa sukuan dengan menerbitkan majalah etnik ini merupakan satu lagi bentuk kolorasi kerjasama antara DBP dengan Kementerian untuk memartabatkan budaya etnik Sabah.
Namun, usaha itu tidak menjamin penggunaan bahasa sukuan akan diteruskan dan dikembangkan tanpa wujud penuturnya.
Justeru, Zubaidi menyeru kepada para penulis di negeri Sabah ini agar memanfaatkan ruang yang disediakan menerusi majalah berkenaan untuk menghidupkan sekali gus mengembangkan bahasa sukuan yang terdapat di negeri ini.

No comments:

Post a Comment