Sunday, March 22, 2009

Atas nama sebuah penghidupan, aku berubah!

=================================
Seperti hari Ahad sebelum ini, bandaraya Kota Kinabalu sesak dengan kunjungan orang ramai yang datang samada untuk meluangkan masa ke tapak tamu di Jalan Gaya, ataupun menjadikan masa terluang pada hari terakhir cuti sekolah ini untuk membeli belah bersama keluarga.
Keadaan di sekitar Jalan Gaya seperti biasa tidak lekang dengan kesesakan orang ramai dan kereta. Pasti 'bikin panas' kepada mereka yang mencari 'parking'.
Pada hari minggu begini, tidak salahkan untuk meluangkan masa bersama keluarga dan rakan-rakan. Tidaklah si dia merajuk kerana tiada masa untuk bersama.
Oh ya, sebelum saya terlupa, sekalung penghargaan atas sumbangan karya pembaca berjudul 'Kisah Cinta Si Aning-aning' minggu lalu.
Walaupun alkisah karya itu amat menyentuh hati dan menyedihkan namun ia dapat menjadi salah satu citra ruangan ini.
Kepada anda yang ingin karyanya tersiar, tidak kiralah mengenai wanita atau lelaki, sila hantarkannya ke alamat Utusan Borneo atau melalui emel utusanborneokk@yahoo.com.my.
Meskipun ruangan ini khas untuk wanita, namun tidak salah untuk saya berkongsi bahan atau cerita tentang seorang lelaki dalam ruangan ini kan...kerana saya percaya disebalik kejayaan dan kisah hidup seorang lelaki pasti ada wanita yang mendukongnya dari belakang.
Apa yang bakal saya ceritakan bukanlah untuk memburukkan sesiapa jauh sekali untuk membuka aib seseorang, hanya ingin berkongsi cerita hidup untuk pedoman bersama.
Rabu lalu, saya berkesempatan bertemu dengan seorang bekas penagih dan bekas bantuan yang terjebak dalam gejala penagihan dadah hampir 20 tahun.
Pada mulanya, pertemuan saya yang ditemani rakan media lain hanyalah untuk tujuan menulis berita pendek mengenai majlis memerangai dadah.
Namun terdetik pula di hati untuk berkongsi cerita kisah perjalanan hidup lelaki yang sudah menjangkau usia 51 tahun itu dengan pembaca budiman.
Sekali imbas, tidak tergambar wajah begis dan ganas sewaktu mudanya dahulu, seperti apa yang digambarkan kepada saya dan rakan.
Jelas beliau, semua bentuk perlakuan jenayah dari mencuri, meragut atau apa saja sudah biasa dilakukannya demi mendapatkan wang untuk membeli dadah.
Namun, kini wajahnya bersih dan nampak tenang serta gaya berjalan pun penuh yakin, langsung tidak memperlihatkan dia adalah seorang insan yang pernah bergelumang dengan dadah.
Namanya William Chin, seorang suami dan bapa kepada empat orang cahaya mata. Perubahan yang berlaku dalam hidupnya setelah 15 tahun berada di Kuching kerana menjalani pemulihan amat dihargainya.
Menurut beliau, pelbagai ranjau yang dilaluinya untuk berubah dan bukan mudah untuk melalui semua itu setelah gian dadah sudah menjadi darah dagingnya malah pernah menjadikan penjara rumah ke duanya.
Ketika itu hanya kemahuan dan kekuatan hati membawa beliau menjadi seseorang yang disegani seperti sekarang.
Kerana dadah, beliau dibenci keluarga. Kerana dadah beliau menjadi sampah masyarakat. Kerana dadah jugalah beliau menjadi pelajar terbiar dan akhirnya menjadi hamba dadah.
Seawal usia 15 tahun sehinggalah dewasa, tiada langsung terbit keikhlasan untuk berubah sehinggalah ketakutan tentang apa yang bakal dilaluinya ketika itu, membelenggu dirinya.
Dengan hati yang bulat dan relahati, beliau melarikan diri dari Sabah dan menetap di Kuching untuk memulihkan jiwanya yang telah 'rosak' ke arah yang lebih baik.
Siapa tahu di bumi kenyalang itu jugalah dia bertemu dengan isterinya dan hidup bersama anak-anaknya dengan penuh keinsafan dan kebahagian.
Tersenyum malu, segan dan terasa hinanya dirinya tatkala membuka bekung di dadahnya. Jelas kelihatan.
Namun, di sebalik itu saya percaya William pasti bangga pada dirinya kerana berjaya melangkah keluar dari belenggu itu dan kini membantu mereka yang senasib dengannya dahulu. (Beliau kini Pengasas Renewal Life Centre, Menggatal).
Tidak hairanlah hidupnya kini kelihatan teratur dan rapi.
Genggaman isteri dan senyuman orang sekeliling mekuatkan semangatnya lagi untuk terus mengharungi hidup di samping tanggungjawabnya membantu penagih-penagih lain.
Sebelum berlalu, William sempat mengajak kami (media) datang melihat pusat pemulihan yang beliau tubuhkan untuk mengetahui penderitaan sebenar yang dialami penagih-penagih.
Kepadamu William, saya berbangga kerana hadir membawa cahaya dari kekecewaan hidup dan tidak hanya duduk menunggu orang lain membantu.
Semoga berbahagia dan hidupnya lebih diberkati. Harap kisah William dapat menjadi iktibar kepada semua.
Kepada penagih di luar sana, mungkin agak mustahil untuk mereka membaca tulisan ini. Namun kepada yang berhampiran dengan mereka atau golongan muda yang masih 'mentah' dalam dunia fana ini, hargailah kehidupan ini dengan seindahnya dan syukurilah dengan nikmat yang diberikan.

No comments:

Post a Comment