KOTA KINABALU: Perkhidmatan komputer berkonsepkan "percuma dan mudah" yang dilengkapi dengan kemudahan internet, Projek 1 Megalab, Univerisiti Malaysia Sabah (UMS) dipertingkatkan sebanyak 500 buah untuk kemudahan akses setiap pelajar serta para penyelidik.
Kemudahan yang ditempatkan di Perpustakaan universiti itu di bawah kendalian Unit Media dan Teknologi Pendidikan, sekali gus menjadikan perkhidmatan itu sebagai sebuah perkhidmatan komputer setempat di universiti yang terbesar di Malaysia setakat ini.
Naib Cancelor UMS, Profesor Datuk Dr Kamaruzaman Haji Ampon, berkata 1 Megalab itu merupakan satu bentuk kerjasama dengan pihak luar dalam membekalkan sistem pengkomputeran dalam pembelajaran selama tiga tahun.
Katanya, jumlah komputer yang terdapat di UMs sebelum ini hanya pada nisbah 1:30 dan kebanyakkan perkhidmatan komputer itu tidak dapat digunakan sehingga 24jam.
"Oleh itu, dengan pelancaran 1 Megalab ini, sasaran untuk mewujudkan perkhidmatan komputer dengan nisbah 1:4 pelajar akan tercapai pada kemasukan pelajar pada sesi Jun/Julai ini," katanya.
Beliau ketika berucap pada majlis pelancaran 1 Megalab oleh Ketua Pengarah, Jabatan Pengajian Tinggi Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia, Datuk Ir Dr Radin Umar Radin Sohadi di Perpustakaan UMS, di sini kelmarin.
Menurut beliau, projek perkhidmatan komputer 1 Megalab itu telah dirancang sejak 2005 lagi dan ianya telah berjaya dilaksanakan pada 2007.
Jelasnya, kemudahan itu diperkenalkan sebagai salah satu alat keperluan asas bagi melengkapi proses Pembelajaran dan Pengajaran (P&P) dan penyelidikan di kalangan pelajar.
"Ia berperanan sebagai makmal komputer serbaguna yang bertujuan memastikan kelancaran dan keberkesanan proses P&P serta proses menimba pengetahuan secara online dan elektronik.
"Ia juga diperkenalkan bagi menampung pertambahan jumlah pengguna komputer dan internet terutama di kalangan pelajar," katanya.
Tambah Kamaruzaman, kemajuan IT dan ICT membolehkan kita memperolehi dan mengaksesnya dalam bentuk elektronik atau secara online menerusi komputer dan internet.
Katanya, buku-buku elektronik (e-book), jurnal elektronik (e-jounal), pangkalan data elektronik (e-database) dan maklumat berkaitan daripada internet adalah sebahagian daripadanya.
"Ia memberi banyak faedah dan kelebihan kepada para pelajar, ahli akademik dan juga penyelidik di mana sumber ilmu pengetahuan ini mampu dicapai dan digunakan secara online oleh ramai pengguna dalam satu masa secara lebih mudah, cepat dan berkesan tanpa mengira tempat dan masa," katanya.
Turut diadakan, pameran bertemakan 'Revousi IT' mengenai bahan-bahan mengenai sejarah kewujudan komputer dan kemajuannya serta keperluannya kepada dunia hari ini.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment