Wednesday, March 11, 2009

SELAMAT HARI WANITA SEDUNIA

Istimewanya insan bergelar hawa
======================
Catatan pada 8Mac lepas
Kira-kira setahun lalu, saya pernah menerima sebuah puisi yang menceritakan tentang perasaan dan abadinya insan ciptaan Tuhan bergelar wanita. Oleh kerana ia amat puitis dan bermakna, saya masih menyimpannya sehingga ke hari ini.
Mungkin boleh saya kongsikan sedikit daripada barisan ayat puisi itu yang berbunyi "Agungnya kasih wanita sehingga mampu merubah segala. Menjadikan bahagia buatku insan lemah, sehingga aku berlabuh di pantai perkasihan dan mengharapkan bertemu cintamu...kau abadikan semua sifat yang berbeda dengan tonggak kepercayaan dengan dinding niat ketulusan..."
Ini hanya sekadar kata-kata indah dan tidak bermaksu mengagungkan golongan tertentu lebih daripada kekuasaan yang Maha Berkuasa, sebalik terselit pengertian istimewanya wanita ciptaan Tuhan di muka bumi ini.
Profesor Madya Fadhilah Kamsah sendiri ada menyebut dalam beberapa ceramah dan tulisannya mengenai istimewanya seorang wanita.
Katanya, hebatnya wanita sehingga Allah mengatakan "Syurga itu ditelapak kaki ibu", hebatnya wanita kerana boleh melahirkan, hebatnya wanita kerana diraikan seluruh dunia pada Hari Wanita Sedunia, juga hebatnya wanita kerana ada segalanya...(ibu jari, ibu pejabat, dan sebagainya).
Sempena Hari Wanita Sedunia yang disambut pada 8 Mac setiap tahun, pastinya pelbagai program diadakan bagi memberi penghargaan kepada golongan ini termasuk kata-kata indah dan kasih. Tidak kiralah kepada ibu, kakak, adik, kekasih ataupun isteri.
Bertemakan 'Bersatu Menghentikan Keganasan Terhadap Wanita' sambutan tahun ini, wanita digesa agar berani dalam mempertahankan hak atau penindasan yang berlaku terhadap wanita dan kanak-kanak.
Terutama melihat kejadian demi kejadian dan penindasan terhadap golongan wanita dan kanak-kanak di bumi Gaza atas perbuatan rejim zionis.
Mungkin berlainan di Negara kita, isu keganasan seumpama itu tidaklah sehebat seperti yang berlaku di Palestin atau Iraq.
Namun dalam konteks lain ia wajar diambil kira untuk wanita dapat bergerak bebas dan tidak didiskrimanasikan.
Tidaklah saya mengajak golongan wanita ini untuk bangkit menentang kaum lelaki atau sombong menyatakan wanita kini mampu berdiri sendiri tanpa kehadiran lelaki sebagai pemimpin keluarga dan masyarakat.
Seperti yang selalu dipuitiskan dikebanyakkan lagu dan sajak selalu mengibaratkan wanita:
Wanita
Wajah selembut bayu
Lenggang dan lenggokmu
Keperibadian wanita
Ayu
Di dalam keayuan
Ada kekuatan
Engkaulah racun
Kau penawar
Insan
Bagai dermaga di pelabuhan
Diri gagah sendirian
Hadapi gelora kehidupan
Kau memberi
Menerima
Menempuhi segala dengan rela
Tapi ada masanya
Engkau api panas membakar
Ada ketikanya
Kau penawar bisa
Kaum wanita ciptaan istemewa
Suka duka berganti
Rahsia tersembunyi di hati
Tabahnya hatimu
Beriman berilmu
Wanita sumber ilham selalu

Walau setinggi mana pujian atau penghargaan yang diberikan terhadap wanita, namun kami tetap manusia yang tidak lepas daripada melakukan kesilapan. Sentiasa memerlukan bimbingan dan panduan untuk membataskan pergaulan dalam kehidupannya.
Kepada ibu, adik perempuan saya dan para wanita di luar sana, selamat hari wanita. Doa dan harapan agar sejahtera dan memperolehi kebaikan serta rahmat daripada Allah SWT. Amin.
Tahniah diucapkan kepada Tan Sri Rafidah Aziz kerana dianugerahkan Tokoh Ikon Wanita 2008 baru-baru ini.

No comments:

Post a Comment