TANGANI KEPUPUSAN BAHASA SUKUAN DI SABAH
==========================================
KOTA KINABALU: Dewan Bahasa dan Pustaka (DPB) cawangan Sabah akan melaksanakan Projek Pemetaan Bahasa Sukuan di daerah Kudat, Kota Marudu, dan Pitas pada tahun ini.
Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) cawangan Sabah, Zubaidi Abas berkata projek yang akan melibatkan semua daerah itu adalah merupakan salah satu usaha serius pihaknya untuk melestarikan bahasa sukuan di negeri ini.
Katanya, projek itu diputuskan setelah mengadakan pertemuan dengan pejabat daerah, persatuan, dan para pemimpin suku kaum di ketiga-tiga daerah itu baru-baru ini.
“Melalui pemetaan bahasa sukuan ini, kita akan dapat mengetahui tahap penggunaan bahasa sukuan, bahasa yang masih aktif digunakan dalam kehidupan sehari-hari dan juga bahasa sukuan yang berpotensi untuk pupus,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Jelas Zubaidi, hasil dan penemuan yang diperolehi daripada pemetaan bahasa itu nanti memberi kepentingan dalam pemikiran dan usaha pihak DBP untuk menentukan langkah-langkah yang wajar ke arah melestarikan bahasa sukuan.
"Berdasarkan kepada bilangan penuturnya, bahasa-bahasa sukuan di Sabah turut termasuk dalam kategori bahasa yang terancam pupus.
"Ini kerana sebahagian daripada bahasa-bahasa itu bukan saja tidak mempunyai tradisi tulisannya, malah bilangan penuturnya kian berkurang." katanya.
Justeru, untuk memastikan kelangsungan bahasa itu, DBP bertanggungjawab memastikan ia terus digunakan.
"Kita harus memastikan bahasa itu terus menjadi bahasa komunikasi dalam lingkungan keluarga di rumah dan lingkungan masyarakat," katanya.
Selain itu, tambah Zubaidi DBP juga telah melakukan pelbagai inisiatif termasuk mendokumentasikan bahasa sukuan itu dalam bentuk daftar kata, glosari, dan kamus.
Bagaimanapun, katanya ia tidak dapat menjamin kelangsungan hidup bahasa sukuan kerana bahasa hanya akan hidup dan berkembang sekiranya ada penuturnya.
"Kelangsungan hidup bahasa sukuan ini memerlukan kecintaan yang mendalam daripada masyarakat pemiliknya. Bahasa sukuan akan tetap wujud apabila masyarakat pemilik mencintai dan menuturkannya dalam pelbagai kesempatan berbahasa," tambah Zubaidi.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment