Sunday, April 5, 2009

Menggamit kerinduan pada yang jauh

=================================
Terasa tidak sedar kini kita sudah pun berada di bulan April. Seperti baru semalam 2008 melepasi waktu dan tahun baru membuka tirainya.

Mungkin juga kerana tugasan dan kehidupan harian sedikit sebanyak mengalutkan keadaan sehingga kita kadangnya tidak sedar masa begitu cepat berlalu.

Sememangnya, masa tidak menunggu kita mencipta kehidupan yang mendatang. Apa yang sudah dirancang bulan lepas saja ada yang belum lagi disudahkan.

Bila difikir, banyak pula perkara yang tertangguh kerana urusan harian. Seperti hari ini, hasrat untuk meluangkan masa dengan seseorang pun sudah tergendala. Minta maaf ya... ada masa kita pasti keluar bersama.

Dalam congakkan jari juga, sudah hampir tiga bulan aku tidak pulang ke kampung. Terasa rindu juga ingin memeluk ibu dan abah.

Memang menyimpan niat ingin menjejakkan kaki ke kampung sementara masa masih ada. Takut pula selepas ini sibuk tak dapat balik berjumpa orang tua.

Bukan apa, dalam perjalanan ke tempat kerja hari ini (kelmarin), ingatan dan perasaan begitu dekat merindui ibu dan abah.

Teringin benar ku berikan kucupan pada tangan dan pipi mereka, dan menerima kucupan dari mereka. Melihat lirikan dan alis mata keduanya pasti senang hati ini melihat mereka di depan mata.

Sebelum ini, mendengar suara saja. Bak kata Datuk Fadhilah Kamsah, kadang-kadang banyak perkara yang boleh disampaikan dengan hanya menyentuh dan saling menatap, tanpa menzahirkannya dengan kata-kata.

Terimbau kembali kenangan di kampung sewaktu kecil sehingga meniti dewasa. Begitu bahagianya menjadi anak kecil di bangku sekolah menelaah pelajaran, singgah ke gerai tepi sekolah makan ais 'tong-tong', menonton televisyen dan bermain dengan adik-adik kalau bosan dan banyak lagi.

Tidak cukup dengan itu, turun ke sungai mandi-manda bersama kawan-kawan, mengikut abah ke kebun dan nasri bibit buahnya.

Waktu itu selalu juga aku mengomel tanda protes kerana gigitan unggas dan nyamuk, berpeluh dan menahan geli geleman terpaksa meredah becak kerana disuru mencari pucuk ubi untuk dibuat lauk tengahari, meratah buah-buahan di atas pokok, mencari buah getah untuk dijadikan 'batu seremban',

Indahnya saat menjadi kanak-kanak. Hidup dalam dunia sendiri membiarkan masa berlalu tanpa risau apa yang bakal mendatang.

Tidak perlu juga memikirkan banyak perkara yang berlaku dalam kehidupan ini. Hidup pun teratur jagaan dan kata-kata orang tua.

Kini, kenangan itu sungguh nostalgik dan tidak mungkin lagi berulang. Beruntung juga kerana dapat meniti kenangan itu. Sekurang-kurangnya boleh dijadikan kenangan ketika rindu. Berbanding dengan adik-adik semua itu sudah tidak lagi dirasai.

Tambah menggamit kerinduan apabila terdengar dendangan lagu di corong radio yang menceritakan rasa rindu kepada sang kekasih.

Tapi, tidak salahkan kalau perasaan itu di tujukan kepada orang tua. Lebih baik berbakti dan merindui orang tua berbanding orang lain yang belum pasti dapat melakukan terbaik untuk kita kan... (Eh...bukan kecewa ya..)

Lamunanku terus berlayar entah ke mana, tahu-tahu saja aku sudah sampai ke destinasiku. Pantas aku menarik nafas panjang, mencari kekuatan untuk melakar sebuah lagi cerita kehidupan.

No comments:

Post a Comment