Sumber: April 14, 2009 14:52 PM
KOTA KINABALU, 14 April (Bernama) -- Tenaganita, sebuah badan bukan kerajaan (NGO) memperjuangkan hak wanita, mencadangkan supaya polis Sabah menubuhkan sebuah unit khas bagi membanteras kegiatan memperdagangkan manusia.Pengarahnya Dr Irene Fernandez berkata Sabah mempunyai potensi untuk berkembang sebagai pusat memperdagangkan manusia khususnya pelacuran dan tenaga kerja yang murah.
"Kita memerlukan pegawai penguatkuasa yang terlatih bagi memerangi kegiatan penyeludupan manusia di negeri ini.
"Sabah mempunyai banyak pintu masuk di mana pendatang asing boleh masuk dan penduduk tempatan boleh meninggalkan negeri itu secara haram," katanya pada bengkel mengenai peranan media dalam membanteras kegiatan memperdagangkan manusia di sini hari ini.
Menurutnya, tidak banyak usaha dilakukan untuk menangkap dalang dalam aktiviti itu walaupun ramai didakwa di mahkamah atas kesalahan memasuki negara ini secara haram.
Irene menegaskan bahawa adalah menjadi kesalahan untuk memasuki negara ini tanpa dokumen sah tetapi orang yang bertanggungjawab membawa masuk pendatang haram turut melakukan tindakan memperdagangkan manusia.
"Malaysia perlu membuktikan sebagai negara yang melaksanakan usaha memerangi penyeludupan manusia dan sejak Akta Anti Memperdagangkan Orang 2007 diluluskan, tidak banyak penguatkuasaan akta itu dilakukan," katanya.
Menurutnya, seramai 119 wanita muda berjaya diselamatkan dari pelacuran paksa di negeri itu tahun lepas dengan 18 peratus daripada mereka dibawa masuk ke Sabah.
No comments:
Post a Comment