Ketika tidak bekerja Rabu lalu, saya sempat meluangkan masa menonton sebuah mega drama terbitan Astro berjudul "Mentua vs Menantu". Mungkin penampilan khas Erra Fazira dalam drama itu menarik minat saya untuk mengikutinya..atau juga watak yang dibawakan Erra agak berbeza dengan penampilannya di layar perak.
Erra memegang watak sebagai Nurul Ain, gadis comot dan agak kasar yang bekerja di bengkel milik keluarganya.
Meskipun begitu, jiwa kewanitaannya terusik apabila bertemu dengan Sham lakonan Aqasha sehingga perkenalanan itu membawa mereka ke jinjang pelamin.
Dalam meniti percintaan bersama lelaki yang dicintainya, Nurul Ain terpaksa menghadapi halangan daripada ibu Sham, Datin Faridah yang sangat mementingkan status dan darjat.
Namun, kerana jodoh dan desakan daripada anaknya sendiri, Datin Faridah terpaksa menyetujui perkahwinan itu. Sejak itu, bermulalah dilema kehidupan Nurul Ain bersama ibu mentuanya.
Dalam ketabahannya hidup sebumbung dengan ibu mentuanya, Nurul Ain disahkan mengandung. Keperitan dan pergolakan dengan ibu mentuanya tidak lagi diendahkan, hanya yang penting adalah kebahagiaannya bersama suami dan anak yang bakal dilahirkan.
Apa pun, yang lebih menarik perhatian saya dan rakan serumah, adalah bagaimana Nurul Ain berhadapan dengan perasaan dan tanggapan masyarakat setelah mendapat tahu suami yang dicintainya curang dan bertemu kembali dengan kekasih lamanya.
Biasanya...cerita-cerita drama di Malaysia mesti diakhiri dengan kebahagiaan... kira mesti 'happy ending'. Begitu juga dalam drama ini, Nurul Ain dengan mudah memaafkan Sham.
Itulah yang menimbulkan sedikit kekecewaan kerana ianya tidak menggambarkan realiti kehidupan sebenar masyarakat kita hari ini, yang tidak boleh menerima hakikat perkara yang sama.
Bagaimanapun, itu sekadar cerita tontonan umum, skrip dan jalan cerita saja sudah lama dirancang. Atau mungkin juga pengarah drama itu sengaja mempercepatkan 'ending' cerita itu memandangkan Erra juga sedang sarat mengandung.
Cerita itu telah pun habis, namun perbualan saya dan teman serumah masih lagi berkisar mengenai kecurangan dan kebahagiaan dalam sesebuah rumahtangga.
"Kenapa mesti curang kalau ada isteri yang sudah cukup cantik?" soal teman serumah saya.
"Bukan kecantikkan yang dipandang....apa guna kalau cantik tapi tidak pernah memandang suaminya itu sebagai suami"
"Iya... kalau begitu tidak heranlah kalau suaminya curang." balasnya.
Perbualan kami terus berlarutan sehingga tidak sedar malam sudah larut dan mata pun sudah mengantuk.
Saya tidaklah punya pengalaman dalam kehidupan berumahtangga, sekadar menjadi telinga kepada orang sekeliling yang sering menghadapi kemelut dalam menempuhi kehidupan bersama pasangan.
Apa yang disedari, semua itu adalah satu jalan cerita kehidupan yang pasti mendewasakan kita. Mungkin sebelum ini kita tidak bersyukur dengan apa yang kita miliki dan mungkin itu pelaung untuk kita mengenal hati budi pasangan masing-masing.
Dari kisah Nurul Ain itu, apa yang dapat saya simpulkan buat pedoman diri sendiri adalah tidak perlu memberikan kebahagian dan kasih sayang sepenuhnya kepada pasangan.
Seperti yang pernah kita dengar,...sayang dulu diri sendiri...nanti kalau sudah jadi seperti itu diri sendiri juga yang akan merana kerana cinta itu tidak semuanya indah.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment